Home Pertahanan dan Keselamatan Mesyuarat FPDA cadang penggunaan pesawat Stealth dalam latihan bersama

Mesyuarat FPDA cadang penggunaan pesawat Stealth dalam latihan bersama

by Nurulhuda

SINGAPURA, 31 MEI – Mesyuarat anggota Peraturan Pertahanan Lima Negara (Five Power Defence Arrangements, FPDA) ke-12 hari ini mencadangkan penggunaan pesawat pejuang F-35 dari Australia dan pesawat rondaan maritim P-8 Poseidon New Zealand dalam latihan bersama.

Dalam kenyataan bersama, Menteri-Menteri Pertahanan FPDA menyatakan latihan yang akan diadakan turut melibatkan sistem pesawat tanpa pemandu dan senario peperangan bukan tradisional.

Mesyuarat FPDA ke-12 yang melibatkan Singapura, Malaysia, Australia, New Zealand dan United Kingdom ini telah dilaksanakan di Conrad Singapore Orchard pada Jumaat.

Semasa mesyuarat tersebut, kesemua menteri mengesahkan komitmen negara mereka terhadap FPDA dan komited untuk menyokong usaha FPDA dalam meningkatkan nilai operasi pelaksanaannya.

“Mereka menyatakan kaitan strategik FPDA sebagai susunan pertahanan yang membina, telus dan aman, yang memainkan peranan penting dalam seni bina keselamatan serantau,

“Menteri dan ketua pengarah juga membincangkan bagaimana FPDA boleh berkembang untuk kekal relevan dan seiring dengan perkembangan keselamatan kontemporari,” jelas kenyataan itu.

Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan FPDA diadakan setiap 3 tahun, dengan Singapura dan Malaysia bergilir-gilir menjadi tuan rumah.

Ia adalah platform bagi membuat keputusan tertinggi FPDA, dan ia berfungsi sebagai platform berharga untuk dialog dan pertukaran pandangan dalam kalangan Menteri Pertahanan FPDA.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen ini turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles; Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan New Zealand, Cik Judith Collins KC; dan Ketua Pengarah (Dasar Keselamatan) United Kingdom, Encik Paul Wyatt.

FPDA telah wujud sejak tahun 1971 merupakan sebuah peraturan pertahanan yang dianggotai oleh Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom bagi membangunkan keupayaan pertahanan melalui aktiviti-aktiviti seperti seminar, lawatan, kursus dan latihan ketenteraan.-airtimes.my

#pertahanan #FPDA #Malaysia #Singapura #airtimes

Related Articles

Leave a Reply