Home SemasaGlobal Malaysia kecam serangan Israel, 8 petugas Op Ihsan di Gaza terkorban

Malaysia kecam serangan Israel, 8 petugas Op Ihsan di Gaza terkorban

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan udara tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh rejim Israel ke atas kem Al-Nuseirat di Semenanjung Gaza pada 14 Mac lalu.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) berkata, serangan tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan 8 rakyat Palestin terkorban dan mencederakan lebih 20 orang yang merupakan petugas.

Petugas tersebut dalam persiapan untuk mengagihkan bekalan makanan yang amat diperlukan dan disumbangkan oleh rakyat Malaysia melalui Tabung Akaun Amanah Kemanusiaan untuk Rakyat Palestin (AAKRP) dan diuruskan oleh Ops Ihsan (gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan – NGO Malaysia).

‘Tindakan keganasan oleh Israel terhadap orang awam yang tidak bersalah ini jelas mengabaikan hak asasi manusia dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,

“Serangan terhadap penduduk Palestin ini juga merupakan satu pencabulan besar terhadap hak asasi mereka untuk hidup dengan aman, selamat dan tenteram,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wisma Putra menegaskan, mereka yang berada di kem itu adalah rakyat Palestin yang tidak bersalah dan bukan ancaman kepada rejim Israel, tetapi hanya menjalankan tanggungjawab kemanusiaan mereka terhadap sesama penduduk Palestin.

‘Kami dengan segera meminta masyarakat antarabangsa untuk campur tangan dengan segera dan tegas, dan meminta rejim Israel supaya bertanggungjawab atas ketidakpedulian mereka secara terang-terangan terhadap nyawa manusia dan memastikan keselamatan rakyat Palestin,

“Keadilan mesti ditegakkan dan langkah-langkah diambil untuk mengelakkan insiden sama berulang lagi. Solidariti dan sokongan kepada rakyat Palestin mesti diperluaskan bagi memastikan usaha mereka untuk mendapatkan keadilan, keamanan dan hak mereka dapat direalisasikan,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut Wisma Putra, Malaysia berpegang teguh dengan prinsip bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. -airtimes.my

#global #airtimes #Malaysia #Gaza #Israel

Related Articles

Leave a Reply