KUALA LUMPUR, 1 Feb – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memfailkan semakan kehakiman terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan 41 akaun bank miliknya dan entiti syarikat lain membabitkan wang berjumlah RM15 juta.
Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, pihaknya memfailkan permohonan semakan kehakiman (ex parte) terhadap SPRM dan Kerajaan Malaysia.
“Sehingga 31 Januari 2024, 2 surat telah diutus ke SPRM pada 27 November 2023 dan 9 Januari 2024 merayu dan memohon pertimbangan bagi akaun-akaun Aman Palestin dinyahbekukan untuk tujuan bantuan kewangan dihantar terus kepada mangsa keganasan perang di Palestin,
“SPRM tidak menjawab. Krisis kemanusian meruncing dan ratusan mati setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
SPRM dalam satu kenyataan pada November tahun lalu memaklumkan, pihaknya telah membekukan sebanyak 41 akaun bank milik Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15,868,762.00.
Tindakan itu diambil ekoran dakwaan pihak terbabit syarikat pertubuhan amal berkenaan menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober tahun lalu.
Menurut SPRM, pihaknya juga telah merakam beberapa keterangan saksi penting dah hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu disyaki penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain objektif penubuhan syarikat itu.
SPRM dilaporkan berkata, pihaknya telah membuat penggeledahan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewangan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.
Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).
Mengulas lanjut, Muhammad Rafique berkata, Aman Palestin menyerahkan urusan ini pada sistem Kehakiman untuk mencapai kebenaran serta sebagai langkah untuk membersihkan namanya dari tomahan jahat dan dakwaan-dakwaan palsu penyelewengan RM70 juta (yang dinafikan).
Jelasnya, Aman Palestin tidak asing namanya bagi bantuan kemanusiaan ini di Gaza, Palestin, dan merentasi kawasan berhampiran Lubnan, Syria serta Yaman.
“Angka kematian akibat konflik di Gaza kini mencecah sekurang-kurang 26,751 mangsa termasuk 10,000 kanak-kanak, manakala 65,636 orang lagi cedera,
“Bantuan dan kempen kemanusiaan mesti diteruskan walau apapun terjadi,
“Aman Palestin sebagai institusi yang dikenali mempelopori bantuan kemanusiaan di Palestin dan mempunyai rangkaian persefahaman dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa di Turkiye, Syria, Lubnan dan kawasan sekitarnya, berharap rakyat Malaysia tidak kira bangsa serta agama akan terus mempertahankan hak masyarakat Palestin,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#SPRM #AmanPalestin #mahkamah #Malaysia #airtimes #semasa