KUALA LUMPUR, 28 NOV – Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memberi tempoh 3 hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak minggu lalu.
Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, sekiranya agensi penguat kuasa itu gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.
“Aman Palestin telah mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, (semalam) memberi notis bawah Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 untuk perintah pembekuan ini dibatalkan dan atau diubah,
“Aman Palestin kini memberi tempoh sebanyak 3 hari untuk penyahbekuan akaun. Sekiranya gagal, tindakan perundangan sepatutnya dan suaimanfaat akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Muhammad Rafique dalam sidang medianya juga memaklumkan, Aman Palestin juga menggesa Ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang, supaya membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat.
“Isu derma dan bantuan kepada Palestin adalah isu sejagat. Kerajaan mesti menjelaskan mengapakah agensi penguatkuasaan di bawah Kerajaan mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat kandungan dalam kenyataan media SPRM bertarikh 23 November lalu, didakwa adalah komplot terancang dan propaganda jahat untuk membunuh karakter Aman Palestin serta ahli Lembaga Pengarahnya.
“Aman Palestin dan ahli-ahli Lembaga Pengarahnya kini disiasat oleh SPRM,
“Kali pertama SPRM hadir ke premis berdaftar Aman Palestin adalah pada 1 Oktober lalu. Tiada serbuan atau tangkapan dibuat pada ketika itu. Penggeledahan dan pembekuan akaun hanya berlaku sehari selepas kenyataan SPRM dikeluarkan pada 23 November 23,” ujarnya lagi.
Malah katanya, kerjasama yang baik telah diberikan oleh Aman Palestin mulai 17 Oktober lalu sehingga sekarang.
“Kesemua dokumen yang diminta juga diserahkan salinan masing-masing. Sehingga kini Aman Palestin telah mengeluarkan kos fotokopi dokumendokumen berkenaan sebanyak hampir RM 12,000.00,” katanya lagi.
Menurutnya, sehingga kini Muhammad Rafique berkata, Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Sufian Awang Piut, serta lima ahli Lembaga Pengarah Aman Palestin dan tiga pekerja telah dipanggil ke pejabat SPRM di Putrajaya.
Terdahulu, Aman Palestin juga mengesahkan 41 akaun sudah dibekukan oleh SPRM dalam siasatan berkaitan mengikut peruntukan AMLATFAPUAA 2001.
Bagaimanapun, Muhammad Rafique berkata, bukan kesemua 41 akaun itu adalah milik Aman Palestin, sebaliknya termasuk milik rakan strategik Aman Palestin dan akaun-akaun ahli Lembaga Pengarah serta kakitangan.
Beliau menegaskan, SPRM perlu menjawab semua persoalan, termasuk mengapa akaun kutipan dana untuk bantuan kemanusiaan dibekukan.
“Mengapakah tindakan itu diambil hanya sehari selepas Aman Palestin mengumumkan penyaluran wang untuk Kempen Bantuan Musim Sejuk dan ketika gencatan senjata diisytiharkan?
“Bagaimana wang derma, sumbangan rakyat dan individu-individu dikategorikan sebagai hasil aktiviti haram?” katanya.
Tegasnya, rakyat Palestin sedang menanti bantuan kemanusiaan, termasuk daripada masyarakat Malaysia menerusi Aman Palestin.
“Sepanjang tempoh 18 tahun bergiat dalam bidang kemanusiaan, Aman Palestin berjaya mengharumkan Malaysia di mata dunia, malah mendapat pengiktirafan dan penghargaan daripada rakyat Palestin,
“Berharap daripada tindakan kita ini, kita dapat mengembalikan semula Aman Palestin supaya dapat beroperasi seperti biasa bagi meneruskan perjuangan isu-isu di Palestin dan seterusnya menjadi wadah untuk membebaskan Palestin dan Baitul Maqdis daripada rejim Zionis Israel dan sekutunya,” ujarnya lagi. -airtimes.my
#airtimes #semasa #AmanPalestin #Malaysia