Perkembangan dunia meriam melibatkan rangkaian inovasi teknologi dan juga taktik. Pada Abad Pertengahan, meriam awal dikembangkan di Tiongkok dan kemudian diperkenalkan ke negara Eropah. Meriam sesuai digunakan dalam peperangan dan ketika dalam melakukan taktik pengepungan. Pada abad ke-19, meriam berkembang menjadi senjata artileri yang sangat efektif dan memainkan peranan dalam konflik besar seperti Perang Napoleon serta Perang Saudara Amerika.
Ketika Perang Dunia Kedua, meriam raksasa Jerman yang turut dikenali dengan nama Schwerer Gustav telah dihasilkan oleh Gustav Krupp von Bohlen und Halbach pada tahun 1941 di Rügenwalde, Jerman.
Pada awalnya, Jerman berusaha untuk mengembangkan senjata yang dapat menembusi kubu konkrit Perancis yang terdapat di sepanjang Garisan Maginot. Garisan Maginot mempunyai halangan iaitu kubu konkrit bagi menghalang serangan kereta kebal dan senjata api automatik. Benteng konkrit itu dibangunkan oleh Perancis di sepanjang sempadan antara Jerman dan Itali selepas Perang Dunia Pertama.
Bagi mengatasi masalah Garisan Maginot, pihak Nazi kemudiannya telah mengarahkan kilang senjata terkenal di Jerman iaitu Alfred Krupp untuk menghasilkan senjata yang mampu memusnahkan benteng tersebut.
Pada awal tahun 1937, projek itu telah diteruskan dengan dana yang diperuntukkan sebanyak 10 juta reichsmark bagi menghasilkan meriam tersebut. Untuk memenuhi tujuan utama, meriam itu menggunakan peluru berkaliber 800mm untuk menembusi konkrit setebal 7 meter.
Senjata berkenaan telah diuji buat pertama kali oleh tentera Nazi pada tahun 1941 di Hillersleben dan digunakan secara rasminya pada tahun 1942 di Sevastopol. Sevastopol merupakan sebuah bandar di kawasan barat daya Semenanjung Crimea.
Oleh kerana meriam ini terlalu berat, tentera Nazi terpaksa membina landasan kereta api khas bagi membolehkannya bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Meriam itu telah mempamerkan taringnya apabila berjaya mendatangkan kerosakan yang cukup besar ke atas kubu pertahanan Soviet di Sevastopol. Walaupun Schwerer Gustav hanya melepaskan tembakan tidak lebih daripada lima puluh das, namun kemusnahan yang dihasilkannya cukup luar biasa.
Selain digunakan untuk bertempur, Schwerer Gustav juga dijadikan alat propaganda bagi menaikkan semangat tentera Nazi ketika berperang. Disebabkan saiznya yang begitu besar, penggunaan senjata ini juga berjaya menjatuhkan moral tentera musuh.
Antara kejayaan meriam ini adalah ketika tentera Nazi apabila berjaya menembusi kubu bawah tanah sedalam 30 meter yang menempatkan gudang peluru senjata Kesatuan Soviet. Senjata itu turut digunakan oleh tentera Nazi dalam Operasi Barbarossa di Rusia dan menjadi senjata pemusnah utama ketika Pertempuran Perancis.
Meriam itu mempunyai berat sekitar 1,350 tan dan mampu menembak 4.8 tan metrik peluru berat pada jarak 47 km dengan halaju muncung 820 m/s. ketinggiannya pula mencapai lebih daripada 38 kaki manakala jumlah panjang lebih daripada 155 kaki.
Meskipun Schwerer Gustav sudah lama tidak lagi digunakan oleh tentera Jerman, namun senjata ini tetap menjadi simbol bersejarah senjata api. Seiring dengan waktu berjalan, senjata ini telah melampaui peranannya dan menjadi sebuah meriam lagenda yang sukar dilupakan hingga kini.- airtimes