MANILA, 25 SEPT – Pasukan Pengawal Pantai China (China Coast Guard, CCG) bertindak memasang pengadang terapung di kawasan tuntutan bertindih antara Beijing dan Manila.
Pengadang tersebut dipasang bagi menghalang sebarang aktiviti perikanan oleh nelayan Filipina.
Perkara tersebut didedahkan oleh Pasukan Pengawal Pantai Filipina (Philippine Coast Guard, PCG) dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kejadian berlaku di kawasan Scarborough Shoal (Filipina: Bajo de Masinloc) pada 22 September lalu.
“3 bot RHIB CCG dan bot Militia Maritim China telah memasang penghadang terapung sebaik sahaja melihat kehadiran bot nelayan Filipina,
“Penghadang sepanjang 300 meter itu telah dikesan oleh anggota PCG dan biro perikanan Filipina yang berada di tempat kejadian,” kata jurucakap PCG, CG Commodore Jay Tarriela dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, penghadang terapung tersebut seringkali dipasang oleh CCG bagi menghalang nelayan Filipina melakukan aktiviti perikanan.
Tambahnya pihak China telah menghantar 4 buah vesel bagi menghalau bot agensi dan nelayan Filipina.
“Mereka telah melakukan cabaran di radio sebanyak 15 kali dan mendakwa bot-bot Filipina telah menceroboh perairan China,
“Cabaran radio oleh CCG telah dijawab oleh pihak Biro Perikanan Filipina yang menegaskan kawasan tersebut merupakan kawasan perairan wilayah Manila,” kata kenyataan itu.
Jelas Jay, pihak CCG telah mula menjarakkan diri mereka dari vesel Filipina selepas menyedari kehadiran petugas media di atas kapal agensi Manila.
Scarborough Shoal merupakan kawasan tuntutan bertindih antara Filipina dan China.
Kawasan terumbu tersebut telah menyaksikan aktiviti penambakan oleh negara kuasa besar Asia itu. Difahamkan, kawasan terumbu ini akan menempatkan pangkalan udara dan tentera laut China pada masa hadapan. – airtimes.my