Home Semasa #Semasa: PRN – SPR jangka peratusan keluar mengundi lebih 82 peratus

#Semasa: PRN – SPR jangka peratusan keluar mengundi lebih 82 peratus

by Bernama

CYBERJAYA, 11 Ogos – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu esok melebihi 85 peratus, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Beliau berkata, jika jumlah peratusan itu tercapai, ia melebihi peratusan keluar mengundi sebanyak 74.7 yang direkodkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU), November lepas.

Abdul Ghani turut menyeru semua pengundi keluar melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi negara serta menasihatkan mereka jangan sesekali menyerahkan kad pengenalan kepada individu yang tidak dikenali selain daripada petugas SPR untuk tujuan semakan.

“Kita (SPR) bersama pasukan keselamatan telah pun bersedia untuk menangani apa-apa masalah dan saya telah berbincang dengan pihak berkuasa untuk menangani sebarang isu berkaitan esok. Jadi jangan bimbang dan keluar mengundi macam biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan dan menghadiri taklimat persediaan akhir Pusat Semakan Peti Undi di Semarak Hall Cyberjaya yang juga pusat penjumlahan rasmi undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil, di sini pada Jumaat.

Esok, 12 Ogos adalah hari pengundian bagi PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Turut diadakan serentak adalah PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Abdul Ghani berkata, SPR telah memberi cadangan waktu mengundi yang digalakkan untuk mengelak kesesakan di pusat mengundi serta mengingatkan pengundi tidak berpusu-pusu di awal pagi ke pusat mengundi memandangkan pusat mengundi dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang.

Beliau berkata, persiapan di semua pusat mengundi PRN dan PRK Parlimen Kuala Terengganu dari segi peti undi, kertas undi dan peralatan lain berjalan dengan baik dan tiada perkara yang tidak diingini dilaporkan berlaku. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply