Home Semasa #Semasa: Kembalikan martabat Langkawi sebagai pusat pelancongan terunggul

#Semasa: Kembalikan martabat Langkawi sebagai pusat pelancongan terunggul

by M.Daim

LANGKAWI, 11 OGOS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan sektor pelancongan di Langkawi perlu kembali ke zaman kegemilangannya.

Menurut beliau, pelbagai usaha dan perancangan sedang dijalankan oleh pihak kerajaan untuk Pulau Lagenda bagi mencapai matlamat itu.

“Langkawi ini pernah memuncak sebagai pusat pelancongan dan kita harapkan dia terus berkembang,

“Kita nak angkat balik kemajuan Langkawi ini supaya kehidupan rakyat lebih baik,” katanya semasa katanya semasa berucap di program tinjauan mesra pelancongan dan perasmian Geopark Discovery Centre.

Menurut beliau, terdapat beberapa isu membelenggu Langkawi telah diambil perhatian oleh kerajaan.

Jelasnya, isu pelancongan perlu diperbaiki kerana ia memberikan kesan kepada ekonomi masyarakat setempat.

Industri pelancongan yang meruncing di Langkawi akan memberikan kesan domino ekonomi yang negatif di kalangan penduduk setempat. Foto: Air Times/M Daim

“Masalah Langkawi ini, orang resah. Kalau lagi pelancongan dia tak naik, orang susah,” katanya.

Tambah Anwar Ibrahim, situasi ini akan mendatangkan kesan negatif bukan sahaja kepada hotel, malah ia turut memberi impak di kalangan peniaga makanan kecil dan juga inap desa.

“Macam mana nak cari makan kalau tak masukkan pelancong secara lebih ramai,” ujar beliau.

Perdana Menteri turut menyatakan beberapa masalah di Langkawi sedang diselesaikan dan diberikan perhatian oleh pihak kerajaan termasuk isu pengangkutan.

“Feri memang ada masalah sikit tetapi LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi) dah ambil kes ini,

“Saya bagi jaminan kita selesaikan dengan peningkatan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim menyatakan cadangan perolehan ambulans laut turut dilaksanakan sebagai kemudahan kepada penduduk pulau di sekitar Langkawi.

Selain itu, beliau turut menyatakan pihak LADA untuk memberikan perhatian kepada membantu pengusaha makanan dan juga penduduk miskin tegar di Langkawi.

Tambah baik perkhidmatan feri merupakan antara fokus kerajaan dan LADA bagi merancakkan kembali ekonomi Langkawi. Foto: Air Times/M Daim

“Rancangan kita pada ketika ini adalah untuk menoktahkan kemiskinan. Bila selesai? Tahun ini,

“Saya kata kepada Pegawai Daerah dan meminta dengan Penghulu serta Ketua Kampung untuk ambil senarai pada tahun 2023 ini,

“Saya mahu setiap nama penduduk Langkawi yang tergolong dalam kemiskinan tegar ini diambil,

“Kita bantu supaya dia (penduduk miskin tegar) lepas dari kemiskinan tegar,” ujar beliau.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk memberikan elaun seberang laut kepada penjawat awam bertugas di Langkawi.

Selain itu, Perdana Menteri turut menjelaskan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi Bersama Lembaga Pengarah LADA, Dato’ Anis Rizana Mohd Zainudin telah memaklumkan beberapa keperluan peruntukan tambahan bagi memajukan infrastruktur pelancongan Langkawi.

Anwar Ibrahim menyatakan beliau belum boleh mengumumkan beberapa rencana pembangunan Langkawi pada ketika ini bagi mematuhi situasi Pilihanraya Negeri (PRN) dan juga peraturan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.

“Ada juga cadangan dia kata orang di Pulau Tuba sakit, nak mai (ke Langkawi) macam mana, jadi kita dah order ambulans laut, tapi saya tak setuju lancar sekarang (sebab PRN),” katanya.

Peningkatan prasarana dan penambahbaikan fasiliti serta kemudahan pelancongan diharapkan akan terbangkan semula martabat Langkawi sebagai destinasi pelancongan terunggul. Foto: Air Times/M Daim

Dalam pada itu, beliau menegaskan matlamat untuk mengembalikan semula martabat pulau peranginan itu sebagai pusat pelancongan perlu melibatkan usaha yang diselaraskan dari semua pihak termasuk Kementerian Pelancongan.

“Kalau nak (usaha) jadikan Langkawi ini betul berkesan, semua jabatan kerajaan dan GLIC akan selaras supaya ada program,

“Setiap syarikat kerajaan yang besar mesti perhati serta ada rancangan untuk mengangkat balik kedudukan Langkawi ini supaya menarik pelancong,

“Kita nak angkat balik kemajuan Langkawi ini supaya kehidupan rakyat lebih baik,” katanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply