Home Semasa #Semasa: Itu bukan dokumen pelupusan peneroka FELDA – Muhyiddin

#Semasa: Itu bukan dokumen pelupusan peneroka FELDA – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 21 – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meneruskan tindakan saman terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berhubung isu pelupusan hutang peneroka FELDA.

Beliau berkata, tindakan itu diteruskan selepas Anwar gagal mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat dan secara terbuka kepadanya dalam tempoh 24 jam seperti yang terkandung di dalam surat tuntutan peguam.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Anwar tidak mendedahkan dokumen berkenaan pelupusan hutang peneroka FELDA, sebaliknya mengemukakan dokumen membabitkan penerbitan sukuk.

“Saya pun pernah berkali-kali menjelaskan sebelum ini bahawa dokumen yang Anwar tandatangan itu adalah berkenaan sukuk bukan pelupusan hutang peneroka FELDA,

“Pendedahan dokumen itu membuktikan saya bercakap benar. Yang berbohong dan fitnah saya ialah Anwar,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, Anwar mendedahkan sebahagian dokumen yang didakwa membuktikan beliau telah menandatangani skim pelupusan hutang untuk peneroka FELDA.

Dokumen itu ialah Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA), serta penerbitan sukuk.

Justeru Anwar mendesak Muhyiddin memohon maaf atas fitnah yang dilemparkan kepadanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, kenyataan media Kementerian Kewangan itu mengesahkan ia adalah jaminan kerajaan sebanyak RM9.9 bilion dan bukan pelupusan hutang peneroka sebanyak RM8.3 bilion yang diselesaikan pada tahun 2021.

“Dokumen sukuk yang didedahkan juga menunjukkan Anwar tidak memahami kandungan dokumen yang dia tandatangan sebagai Menteri Kewangan,

“Ini bahaya. Entah apa lagi dokumen atau perjanjian yang dia tandangan atas kapasitinya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dia tidak faham atau tidak tahu isi kandungannya,

“Jelas Anwar tidak layak (incompetent) untuk kekal sebagai Perdana Menteri. Lagi lama Malaysia ditadbir oleh kerajaan Anwar, lagi besar mudaratnya kepada rakyat,” ujarnya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply