Home Teknologi Pertahanan #TeknologiPertahanan: Modi ke Perancis, Rafale M akan tamatkan persaingan Super Hornet?

#TeknologiPertahanan: Modi ke Perancis, Rafale M akan tamatkan persaingan Super Hornet?

by M.Daim

NEW DELHI, 10 JULAI – Presiden India, Narendra Modi dijangka akan mengadakan lawatan rasmi ke Perancis selama 2 hari mulai 13 Julai ini.

Lawatan tersebut dijangka akan menamatkan persaingan pesawat tempur untuk kapal induk INS VIKRANT Tentera Laut India (Indian Navy, IN).

Persaingan ini melibatkan Dassault Rafale M dari Perancis dan Boeing F/A-18 E/F Super Hornet Block III.

Rafale M bakal dipilih kerana mempunyai persamaan dengan Rafale yang dioperasikan oleh Tentera Udara India.

Menurut laporan media India, perolehan pesawat tempur untuk kapal induk merupakan antara fokus lawatan tersebut.

“Pemindahan teknologi enjin helikopter, perolehan jet pejuang IN dan pembelian tambahan kapal selam Scorpene,” kata laporan itu.

India sebelum ini melancarkan program Multirole Carrier Borne Fighter (MRCBF) bagi memperolehi 26 buah pesawat tempur untuk INS VIKRANT.

Program ini menyaksikan pertarungan sengit Rafale M dan F/A-18E/F Super Hornet.

Menurut laporan itu, bahagian perolehan pertahanan India, Defence Acquisition Council (DAC) akan memberikan lampu hijau untuk pembelian pesawat tersebut

Jelasnya, pihak New Delhi mahu mendapatkan model pesawat yang telah digunakan oleh pasukan tentera negara itu.

Pada ketika ini, Tentera Udara India (Indian Air Force – IAF) mengoperasikan 36 buah Rafale.

Pemilihan Rafale M merupakan satu perkara yang telah dijangka dengan melihat inventori dan gesaan pemimpin tinggi ketenteraan negara itu.

Pada Mac lalu, Panglima Tentera Laut India menyuarakan gesaan terhadap kerajaan negaranya untuk memilih pesawat yang mempunyai persamaan dengan IAF.

“Kita telah mempunyai Rafale dalam IAF. Kita perlukan persamaan dari segi alat ganti dan khidmat sokongan,” kata Admiral R. Hari Kumar dalam laporan media India.

Boeing akan menamatkan pengeluaran F/A-18 E/F Super Hornet 2025.

Rafale M merupakan varian khusus untuk dioperasikan pada kapal induk. Varian ini mempunyai 95% persamaan dari segi komponen dengan Rafale.

Pada ketika ini, Tentera Laut Perancis merupakan satu-satunya negara pengguna Rafale M.

Sekiranya pemilihan Rafale M untuk IN telah muktamad, ia boleh dilihat sebagai satu titik penamat kepada persaingan F/A-18 Super Hornet di medan antarabangsa.

Air Times sebelum ini melaporkan kenyataan pihak Boeing yang akan melanjutkan pengeluaran pesawat tempur tersebut sehingga tahun 2027 sekiranya mereka berjaya memikat pelanggan antarabangsa.

“Boeing dijangka akan menyelesaikan pengeluaran pesawat baharu F/A-18 Super Hornet pada akhir 2025 selepas perolehan Tentera Laut Amerika Syarikat selesai,

“Penghasilan pesawat ini boleh dilanjutkan pada tahun 2027 sekiranya Super Hornet dipilih oleh satu pelanggan antarabangsa,” kata Boeing dalam satu kenyataan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply