LAUT MERAH, 7 MEI – Sebuah pesawat pejuang F/A-18F Super Hornet milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) tergelincir dari kapal induk USS Harry S. Truman (CVN-75) ke Laut Merah semasa percubaan pendaratan malam, pada Selasa.
Insiden ini merupakan kali kedua dalam tempoh seminggu Tentera Laut AS kehilangan pesawat Super Hornet di Laut Merah.
Menurut kenyataan seorang pegawai pertahanan yang dipetik oleh United States Naval Institude (USNI) News, pesawat dua tempat duduk dari skuadron “Red Rippers” (VFA-11) itu mengalami kegagalan sistem penahan semasa proses pendaratan pada jam 9 malam, waktu tempatan.
“Penahanan tidak berjaya, menyebabkan pesawat itu tergelincir ke laut. Kedua-dua juruterbang berjaya keluar dengan selamat dan diselamatkan oleh sebuah helikopter daripada Skuadron Tempur Laut Helikopter 11. Kedua-dua juruterbang telah dinilai oleh petugas perubatan dan didapati mengalami kecederaan ringan. Tiada anggota dek penerbangan yang cedera,” katanya.
Pegawai itu turut mengesahkan dek penerbangan tidak terjejas dan Truman kekal dalam keadaan beroperasi.
“Setakat malam Selasa, Truman masih beroperasi sepenuhnya,” tambahnya.
Sebelum ini, pada 28 April lalu, sebuah lagi F/A-18E Super Hornet dari skuadron “Knighthawks” (VFA-136) turut dilaporkan terjatuh ke laut selepas tergelincir dari lif pesawat.
Insiden ini dipercayai berpunca daripada tindakan Truman yang membuat pusingan tajam untuk mengelak serangan kumpulan Houthi di perairan Laut Merah.
Menurut kenyataan rasmi Tentera Laut AS yang dipetik oleh CNN, pesawat berkenaan sedang ditunda dalam hangar bay ketika kru kehilangan kawalan ke atasnya.
“F/A-18E itu sedang ditunda di dalam hangar apabila kru penunda hilang kawalan ke atas pesawat tersebut. Pesawat dan traktor tunda telah terjatuh ke laut. Anggota yang menunda pesawat bertindak segera untuk mengelak dari kawasan pesawat sebelum ia jatuh ke laut. Siasatan sedang dijalankan,” lapornya.
Dalam pada itu, dengan dua pesawat Super Hornet yang hilang dalam tempoh seminggu, kerugian dianggarkan melebihi USD120 juta atau sekitar RM567 juta. Menurut Tentera Laut AS, setiap unit pesawat F/A-18E/F Super Hornet dianggarkan berharga lebih USD60 juta, tidak termasuk peralatan dan sistem tambahan.
USS Harry S. Truman dan Carrier Air Wing One telah ditugaskan ke Laut Merah sejak 23 September 2024 dan kini terlibat dalam Operasi Rough Rider yang menyasarkan kedudukan Houthi di Yaman sejak 15 Mac lalu. Penugasan mereka telah dilanjutkan selama seminggu baru-baru ini. -airtimes.my
#AirTimes #F/A-18SuperHornet #USSHarryS.Truman #Navy