Home Semasa POLIS TUMPASKAN DUA SINDIKET, RAMPAS DADAH BERNILAI RM7.42 JUTA

POLIS TUMPASKAN DUA SINDIKET, RAMPAS DADAH BERNILAI RM7.42 JUTA

by Muaz Rizqi

SHAH ALAM, 10 Jul – Polis menahan 3 lelaki kerana disyaki terlibat dengan 2 sindiket pengedaran dadah susulan rampasan dadah seberat 222 kilogram bernilai RM7.42 juta, hasil dua serbuan berasingan yang dijalankan di sekitar Selangor, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata kesemua suspek berumur antara 38 hingga 47 tahun itu dipercayai aktif menjadi pengedar serta transporter atau pengangkut membawa dadah sejak awal tahun ini dengan bahan terlarang terbabit diperoleh dari utara Semenanjung berdasarkan paket pembungkusan.

“Serbuan polis yang pertama pada 5 Julai di sebuah rumah di Sepang telah menahan seorang lelaki berumur 44 tahun serta merampas 47.8 kg dadah jenis methamphetamine dan ketamin,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Bagi operasi kedua di Shah Alam pada 6 Julai, beliau berkata sebuah inap desa telah diserbu pihak polis bagi menahan dua lelaki berumur 38 dan 47 tahun dan merampas 174.2 kg dadah jenis methamphetamine dan pil yaba.

Beliau berkata hasil kedua-dua operasi terbabit, pihak polis turut menyita 2 kenderaan jenis Kia dan Toyota Hilux, 2 bentuk cincin serta jam tangan dianggarkan bernilai RM87,705.

“Polis kini sedang mengesan dalang sebenar kedua-dua sindiket ini selain masih menjalankan siasatan menyeluruh sama ada mereka terlibat dalam aktiviti kumpulan kongsi gelap,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan 2 daripada mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.

“Kesemua suspek kini direman 7 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan,” katanya. -BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply