SUBANG, 10 Jul – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan Latihan Mini Air Mobility Tactical Operation (AMTOP) bermula dari 2 hingga 9 Julai lalu.
Pihak TUDM memaklumkan, latihan yang dikoordinasi oleh Markas Wilayah Udara 1 (MAWILUD 1) ini telah diadakan di kawasan latihan yang digazetkan melibatkan Pangkalan Udara Subang dan Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan.
Menurut TUDM, latihan Mini AMTOP ini diadakan bagi meningkatkan kompetensi anak kapal, anggota juruteknik teknikal pesawat dan juga anggota-anggota bantuan lain yang terlibat.
Tambah, latihan ini juga akan turut meningkatkan tahap kompentensi kesiagaan operasi pasukan Air Mobility fleet secara khususnya dan TUDM secara amnya.
Latihan ini melibatkan anak kapal pesawat angkut iaitu pesawat CN235-220M dari No 1 Skuadron, pesawat C130H dari No 14 Skuadron dan No 20 Skuadron serta pesawat A400M dari No 8 Skuadron.
Pelaksanaan latihan ini juga melibatkan latihan bersama dengan Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam meningkatkan elemen interoperability antara perkhidmatan.
Selain itu, TUDM menjelaskan, dalam latihan ini juga turut diadakan pertandingan KUDA KUAT yang mana merupakan salah satu elemen bagi Eksesais JAGUH.
“Tujuan pertandingan ini adalah sebagai pemangkin untuk meningkatkan semangat berpasukan, tahap kesiagaan, kompetensi juruterbang, anak kapal dan barisan kejuruteraan dalam pengoperasian pesawat,
“Format pertandingan telah diolah berdasarkan misi taktikal peperangan sebenar dan perkara yang dinilai dalam pertandingan ini adalah kemampuan dan kepakaran individu, pasukan dan skuadron penerbangan dalam melaksanakan operasi pengguguran bantuan udara,” kata TUDM menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Turut sama terlibat dalam eksesais ini ialah Seksyen Hantaran Udara (SHU) dan MPOU-JKO yang dibantu oleh Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Subang sebagai Pasukan Penilai.
“Latihan ini adalah latihan tahunan yang dilaksanakan kali ini secara Field Training Exercise (FTX),” tambah hantaran itu lagi. -airtimes.my