Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara Status pembinaan 18 pesawat FA-50M TUDM capai 26.7 peratus

Status pembinaan 18 pesawat FA-50M TUDM capai 26.7 peratus

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan, status kemajuan pembinaan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M bagi TUDM tersebut kini telah mencapai 26.7 peratus.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, berdasarkan kepada jadual perolehan, 2 pesawat pejuang ringan itu dijangka diterima pada suku ketiga 2026 dan selebihnya akan diterima secara berperingkat hingga penghujung tahun 2027.

“Nilai perolehan (pesawat) ialah RM3.8 bilion. Perolehan pesawat ini berdasarkan kepada perancangan TUDM, iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55),

“Ia menyasarkan perolehan pesawat platform tunggal 2 tempat duduk yang berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan untuk tujuan latihan bakal juruterbang pejuang dan juga sebagai pesawat tempur ringan (LCA) bagi keperluan operasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik) yang ingin mengetahui jangkaan perolehan status terkini pembelian 18 pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) FA-50 bagi kegunaan TUDM.

Menurut Adly, berdasarkan perancangan pesawat, LCA ini akan diguna pakai hingga 2045 berdasarkan polisi casting, pesawat pejuang serta akan melalui program mid-life upgrade program iaitu bagi memastikan ia kekal beroperasi hingga 2055.

Mengulas lanjut, Adly berkata, pesawat yang bakal diperoleh TUDM ini adalah varian yang paling moden dan berkeupayaan, berbanding varian lain yang diperoleh negara lain beberapa negara di Asia Tenggara.

“Pesawat pejuang FA-50M ialah daripada varian FA-50 Block 20 dan terkini berbanding yang digunakan Tentera Udara Filipina,

“Sudah pasti ia mempunyai peningkatan dari segi keupayaan radar dan kombatan. Pesawat FA-50 ini bukan sahaja dimanfaatkan untuk tujuan operasi tetapi juga digunakan bagi tujuan latihan,

“Ini merupakan fasa pertama perolehan pesawat FA-50 ini dan saya yakin melalui CAP55, TUDM sudah merancang sehingga ke tahun 2055,” katanya bagi soalan tambahan mengenai kelebihan dan keupayaan pesawat FA-50 berbanding yang digunakan oleh Tentera Udara Filipina.

Kerajaan sebelum ini, menandatangani surat setuju terima (SST) pesawat tempur FA-50 bernilai RM4.08 bilion bersama KAI selaku pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan, pada Februari 2023.

Pemeteraian perjanjian pembelian itu kemudian dibuat semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM ialah varian FA-50 Block 20 itu akan dilengkapi persenjataan mengikut keperluan dan peranan sebagai pesawat Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft (FLIT-LCA).

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara.-airtimes.my

#pertahanan #TUDM #airtimes #Malaysia #Korea

Related Articles

Leave a Reply