Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Udara MINDEF peruntuk RM69 juta naik taraf, selenggara kuarters TUDM – Khaled

MINDEF peruntuk RM69 juta naik taraf, selenggara kuarters TUDM – Khaled

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) memperuntukkan sebanyak RM69 juta kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi membaik pulih dan menyelenggara Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di seluruh negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada RM400 juta yang diperuntukkan kerajaan pada tahun ini bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Sebanyak RM7 juta diperuntukkan kepada TUDM di Pangkalan Udara Subang dan setakat ini 65 unit (rumah) sudah diselenggara dan berbaki 120 (unit rumah) lagi… kita akan pastikan selesai,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas melawat rumah anggota di Pangkalan Udara Subang, pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahary, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Menurutnya, peruntukan RM400 juta itu turut akan diagihkan di semua RKAT milik Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan rumah anggota akan selesai diselenggara pada hujung tahun ini.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian dalam soal kesejahteraan kehidupan anggota ATM terutamanya melibatkan rumah.

“Kita tahu dengan adanya rumah yang sempurna, anggota bukan sahaja membina keluarga yang bahagia tetapi dalam dia (anggota) menjalankan tugas, dia tidak perlu fikir (soal rumah),

“Selain itu tidak perlu memikirkan keadaan keselamatan keluarga apabila bertugas dan kerajaan sangat prihatin melihat keadaan ini untuk melihat rumah (anggota) dinaik taraf dan diselenggara,” ujarnya lagi.

Pada lawatan itu, Mohamed Khaled turut meluangkan masa berbuka puasa dengan warga TUDM di Masjid Al-Muhajirin di Pangkalan Udara Subang dan mengagihkan sumbangan kepada 20 warga TUDM bagi meringankan beban khususnya dalam menyambut Ramadan.-airtimes.my

#pertahanan #MINDEF #airtimes #RKAT #peruntukkan

Related Articles

Leave a Reply