Home Semasa Kerajaan pertimbang guna kaedah pajak aset pengangkutan – Loke

Kerajaan pertimbang guna kaedah pajak aset pengangkutan – Loke

by Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kerajaan sedang mempertimbangkan model baharu dengan mengguna pakai kaedah pajakan terhadap mana-mana produk, aset dan perkhidmatan pengangkutan seperti tren bagi memaksimumkan jangka hayatnya.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata menerusi kaedah itu kerajaan tidak lagi memfokuskan kepada usaha membeli aset baharu, sebaliknya menggunakan kaedah yang membolehkan pihak melakukan pajakan turut bertanggungjawab terhadap aspek penyelenggaraan.

“Tak perlu kita beli aset baharu, tapi kita pajak produk dan kemudahan itu sebab banyak sektor pengangkutan terutama syarikat penerbangan, mereka tidak beli pesawat mereka pajak pesawat itu.

“Kalau kita pajak ia juga merangkumi proses penyelenggaraan supaya pihak yang pajak aset itu mereka juga bertanggungjawab untuk pastikan aset dapat digunakan secara maksimum sepanjang masa termasuk penyelenggaraan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berhubung perancangan Kementerian Pengangkutan dalam menguruskan isu penyelenggaraan tren yang dianggarkan menelan kos lebih kurang RM250 juta supaya tidak berlaku masalah teknikal sepanjang musim perayaan.

Loke yang mengakui isu penyelenggaraan sebagai isu besar dalam perkhidmatan kereta api bagaimanapun berkata perkara itu akan dibincang dengan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi bagi melihat kesesuaian model itu dalam memaksimumkan perkhidmatan pengangkutan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Wong Shu Qi (PH-Kluang) berhubung stesen tambahan di sepanjang Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru, Loke berkata pihaknya menggalakkan usaha perkongsian awam-persendirian dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

“Iaitu stesen ini tidak semestinya dibina kerajaan, umpamanya di sekitar stesen itu jika ada pembangunan perumahan antara perkara kita boleh laksanakan sebelum luluskan rancangan pembangunan ialah mewajibkan pemaju bina stesen tambahan dengan kosnya kepada mereka (swasta),” katanya.

Beliau berkata sekiranya pemaju sanggup mengeluarkan kos bagi pembinaan stesen tambahan yang menghubungkan kawasan perumahan dengan stesen berkenaan, langkah itu dilihat boleh meningkatkan nilai pembangunan dan hartanah di kawasan pemaju.

Menjawab soalan asal Wong berhubung bilakah Projek Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru disiapkan sepenuhnya, Loke berkata projek sepanjang 192 kilometer itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 21 April 2025.

Beliau berkata KTMB mempunyai perancangan memperkenalkan perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan bagi laluan Gemas-Paloh-Johor Bahru.

Menurutnya MOT menerusi Perbadanan Aset Keretapi sedang mengusahakan inisiatif perolehan set tren elektrik baharu secara pajakan untuk digunakan bagi perkhidmatan KTM Komuter di sektor selatan kelak.-airtimes.my

#semasa #airtimes #pengangkutan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply