Home Pertahanan dan Keselamatan Panglima Tentera Darat rasmikan majlis pecah tanah masjid baharu 2 Briged di Kem Syed Putra

Panglima Tentera Darat rasmikan majlis pecah tanah masjid baharu 2 Briged di Kem Syed Putra

by Zaki Salleh

 

IPOH, 14 MAC –  Masjid baharu 2 Briged akan dibina yang mana apabila siap kelak dapat memberi kemudahan dan keselesaan kepada warga briged dan ahli keluarga mereka di sini untuk beribadat.

 

Masjid bernilai RM6 juta itu terletak di Kem Syed Putra yang dapat menampung kira-kira 1,000 jemaah, pada satu-satu masa.

 

Masjid baharu 2 Briged ini dibina di atas tanah seluas 2 ekar manakala keluasan bangunan masjid adalah kira-kira 1,003 meter persegi.

 

Pembinaan masjid baharu ini adalah untuk menampung bilangan jemaah yang terdiri daripada pasukan-pasukan bawah naugan 2 Briged.

 

Ini termasuklah ahli keluarga yang berada di Kem Syed Putra yang berjumlah lebih 3,000 orang.

 

Majlis pecah tanah Masjid Baharu 2 Briged ini disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan.

 

Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

 

Dengan terbinanya masjid baharu ini ia dapat mengimarahkan lagi aktiviti keagamaan yang

melibatkan jumlah ramai.

 

Imbas kembali, permohonan untuk pembinaan masjid tersebut telah dimajukan kepada

Menteri Besar Perak pada 11 Mei 2021 dan permohonan sama dipanjangkan kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.

 

Bertitik tolak daripada inisiatif tersebut, Perdana Menteri ketika itu telah meluluskan peruntukan  sebanyak RM 6 juta untuk pembinaan masjid ini.

 

Seterusnya kelulusan peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri – Jabatan Penyelarasan Pelaksanaan (JPM – ICU) telah diperolehi pada 13 Januari 2022 bagi pembinaannya .

 

Pembinaan masjid baharu ini juga telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah.

 

Kerja-kerja pembersihan tapak telah dimulakan 6 Oktober lalu manakala penetapan arah kiblat telah dilaksanakan oleh Bahagian Falak Jabatan Mufti Perak.

 

Bangunan masjid berkonsepkan ‘Nusantara moden’ dan ciri-ciri rekabentuk yang melambangkan konsep ukiran bermotif ukiran islamik nusantara.

 

Terdapat ruang solat utama, ruang limpah terbuka, tempat memandikan jenazah, tandas, bilik imam, bilik mesyuarat, stor tempat meletak kenderaan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply