Home Semasa #Semasa: Imigresen serah siasatan kepada SPRM

#Semasa: Imigresen serah siasatan kepada SPRM

by Nurulhuda

PUTRAJAYA, 4 Jul – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai didapati terlibat rasuah sama ada yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) atau mana-mana pejabat Imigresen di seluruh negara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh sebaliknya berkata, sekiranya terdapat pegawai Imigresen yang didapati bersalah, pihaknya juga tidak akan melindungi pegawai tersebut serta akan mengambil tindakan di peringkat jabatan mengikut undang-undang sedia ada.

“JIM menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan dakwaan ini kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),

“Jabatan ini sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, JIM juga komited dalam menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan juga pelawat asing yang memasuki Malaysia.

“Jadi, jika terdapat pegawai imigresen yang didapati bersalah, kami tidak akan melindungi pegawai tersebut serta akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya lagi.

Terdahulu, media melaporkan SPRM memandang serius isu rasuah yang dikatakan berlaku dalam insiden membabitkan seorang warga China di KLIA, baru-baru ini.

Satu siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengesahkan perkara itu dengan memanggil saksi termasuk Menteri yang terbabit untuk memberi keterangan.

Malah, SPRM sudah mengenal pasti seorang individu disyaki menjadi orang tengah dalam urusan menyelesaikan kes membabitkan seorang pelancong asing yang dikatakan tidak memenuhi syarat kemasukan ke negara ini sebagaimana ditetapkan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply