Home Semasa #Pertahanan: Insiden bom lempar, MINDEF tunggu laporan lembaga siasatan – Tok Mat

#Pertahanan: Insiden bom lempar, MINDEF tunggu laporan lembaga siasatan – Tok Mat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 4 Jul – Kementerian Pertahanan (MINDEF) masih menunggu laporan penuh siasatan kejadian letupan bom lempar yang mengakibatkan kematian 2 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), baru-baru ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, siasatan kes terbabit kini dikendalikan Lembaga Siasatan Dalaman TUDM serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, katanya, sebarang dapatan berhubung kes letupan bom lempar di Kem Syed Sirajuddin dekat Negeri Sembilan, akan dimaklumkan selepas siasatan terperinci mengenainya selesai.

“Dua siasatan mengenai kes ini sedang dilakukan PDRM dan Lembaga Siasatan Dalaman TUDM. Justeru, lebih baik kita tunggu laporan jawatankuasa siasatan dalaman berkenaan sebelum membuat sebarang kesimpulan,

“Kejadian malang ini memang tragis. Bagi kami apabila hilang satu jiwa dalam angkatan tentera ia adalah tragedi,” katanya seperti di lapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penyampaian Dermasiswa Premium dan Sumbangan Komputer Riba, di Wisma Pertahanan, hari ini.

Pada 25 Jun lalu, 2 anggota TUDM disahkan meninggal dunia ketika menjalani sesi Latihan menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Peningkatan Pembantu Pertahanan Kelas 1 (KPPP Kls 1) Siri 78/23 yang berlaku di Tapak Latihan Grenade Asas, di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Penuntut yang meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Laskar Udara 1, Mohd Iqmal Masdi, 22; manakala, jurulatih yang disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Segamat ialah Koperal Udara Mohd Syuib Bidin, 33.

Sementara itu, TUDM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Dalam masa yang sama, TUDM turut menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi dan berita tidak sahih sehingga proses siasatan dijalankan selesai. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply