Home Semasa Kalimah Allah: KDN pernah tolak permintaan Menteri DAP – Muhyiddin

Kalimah Allah: KDN pernah tolak permintaan Menteri DAP – Muhyiddin

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa terdapat menteri dari DAP pernah meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata, perkara tersebut berlaku semasa dirinya menjadi Menteri Dalam Negeri semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

“Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pendirian KDN ketika itu adalah kes berkenaan mesti diputuskan oleh mahkamah mengikut proses undang-undang.

Jelasnya, ia kerana penyebaran risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan umat Islam dan berkemungkinan menggugat ketenteraman awam serta keselamatan negara.

Bahkan, beliau berkata, apabila Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Jill Ireland pada tahun 2021, Kerajaan PN pada ketika itu berpendirian bahawa keputusan kes ini mesti dirayu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

“Menjadi kelaziman dalam mana-mana kes mahkamah, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh merayu ke mahkamah yang lebih tinggi,

“Keputusan untuk merayu ke Mahkamah Rayuan juga adalah selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Sultan Selangor,” katanya lagi.

Tetapi, perkembangan terbaharu kes ini membuatkan Muhyiddin kesal dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (BN) yang menarik balik rayuan dalam kes yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.

“Sepatutnya, biarlah kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya,

“Sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai, maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan,

“Ia demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan, iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Kebawah Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

“Maka titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, KDN dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan 3 perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland, yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply