Home Pertahanan dan Keselamatan Penyeludup lesap, tinggalkan rokok bernilai RM2.95 juta

Penyeludup lesap, tinggalkan rokok bernilai RM2.95 juta

by Nurulhuda

KUALA LINGGI, 17 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan menumpaskan cubaan penyeludupan rokok selepas merampas 4.27 juta batang rokok kretek pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM2.95 juta.

Pengarah APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak memaklumkan, rampasan itu dilakukan di Tanjung Sepat, Selangor awal pagi Isnin.

Beliau berkata, rampasan itu adalah hasil daripada maklumat risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) yang telah mengesan satu kontek curiga di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) di syaki menuju ke Tanjung Sepat pada jam 11.30 malam, Ahad lalu.

Jelasnya, aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan Op Murni/Op Tiris telah diatur gerak ke lokasi pengesanan sejurus menerima maklumat tersebut.

“Sebaik menyedari kehadiran bot ronda APMM, bot suspek telah cuba melarikan diri namun berjaya dipintas sehingga memaksa suspek bertindak memecut laju menuju ke kawasan bakau seterusnya berjaya meloloskan diri dalam hutan bakau,

“Keadaan cuaca yang gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi untuk mengesan suspek,

“Seterusnya, bot pancung tanpa tekong dan awak-awak telah ditahan di kedudukan 0.07 batu nautika barat daya Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat pada jam lebih kurang 1.30 pagi,” jelasnya.

Iskandar berkata, pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran berwarna kelabu dan menggunakan 6 enjin 200 kuasa kuda jenama Yamaha itu mengandungi rokok kretek.

“Bot dan muatan seterusnya dirampas dan akan disiasat dibawah Akta Kastam 1967,

“Kesemua rampasan dibawa ke Jeti APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Jumlah keseluruhan kesemua rampasan rokok termasuk bot, 6 enjin dan rokok bernilai RM3.15 juta,” ujarnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, pihaknya sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan serta menyeru kepada orang ramai untuk membantu menyalurkan maklumat bagi mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply