Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan bot nelayan tempatan dikendali warga Thailand

APMM tahan bot nelayan tempatan dikendali warga Thailand

by Muaz Rizqi

KUANTAN, 18 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan 6 warga Thailand kira-kira 27.7 batu nautika dari muara Kuala Endau, Rompin kelmarin.

Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata bot kelas C jenis bubu itu ditahan oleh anggota APMM yang menjalankan rondaan Op Makmur, selepas menemukan bot itu dalam keadaan mencurigakan pada 1.50 tengah hari.

“Pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan seorang tekong bersama 5 kru berusia antara 20 hingga 51 tahun,

“Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen kelulusan penggunaan kru bukan warganegara di atas bot penangkapan ikan tempatan dan gagal mempamerkan pas lawatan kerja sementara,” ujarnya.

Kamal Ariffin berkata mereka dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading, Rompin untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply