Keupayaan sistem pertahanan udara di darat kita yang semakin ketinggalan bukanlah satu perkara yang hendak diselindung lagi.
Ketika ini, sistem pertahanan udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terbatas pada kemampuan peluru berpandu pertahanan udara jarak sangat dekat (VSHORAD) selain meriam penangkis. Apabila sistem Jernas ditamatkan perkhidmatan setelah 20 tahun digunakan, Tentera Darat tidak mempunyai pengganti yang mempunyai kemampuan setanding dengan sistem tersebut.
Hasrat ATM untuk melonjakkan keupayaan daripada sistem aras rendah (SHORAD) kepada jarak sederhana (medium range) telah pun dirancang seawal tahun 1999. Ketika itu Gerup Artileri Pertahanan Udara (GAPU) Tentera Darat diberikan tanggungjawab membuat penilaian serta cadangan bentuk sistem persenjataan yang sesuai.
Sekitar tahun 2002, beberapa sistem persenjataan disebut-sebut untuk dimiliki ATM masa itu termasuklah sistem pertahanan udara Buk-M1-2. Perolehan yang hampir pasti pula berlaku dua tahun kemudian apabila Malaysia telah bersetuju secara prinsip untuk membeli peluru berpandu KS1A dari China di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (2006-2009).
Malah, ketika itu pegawai kanan Kementerian Pertahanan dikatakan telah berkunjung ke China bagi proses seterusnya sebelum perolehan tersebut tergantung. Bagaimana pun, program Ground Base Air Defence (GBAD) kemudian diambil alih oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) apabila perancangan ini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).
Berbaki lagi dua tahun berakhirnya RMK-12, namun belum ada sebarang keputusan mengenai program tersebut walaupun beberapa jenis sistem disebut-sebut. Memiliki sistem pertahanan udara di darat yang ampuh adalah penting bagi GAPU dan TUDM untuk melindungi sasaran penting serta kritikal negara daripada ancaman.
GAPU sebagai penyedia payung pertahanan udara kepada pasukan di darat mempunyai peranan utama misalnya untuk melindungi kolum armor atau mekanise. Tanpa perlindungan udara, ia terdedah kepada ancaman serangan musuh seperti helikopter anti-armor atau pesawat penyerang termasuk dron.
Dalam kerancakan negara serantau menggandakan keupayaan sistem pertahanan udara masing-masing, timbul seribu tanda tanya bagaimana pula dengan kita?
Filipina yang sejak bertahun-tahun dipandang sebagai negara dengan angkatan tentera yang memiliki aset usang berubah wajah apabila secara konsisten melaksanakan pemodenan. Pada November tahun lalu pertahanan udaranya dipertingkatkan apabila menerima sistem peluru berpandu jarak sederhana SPYDER buatan Israel.
SPYDER yang boleh mengenai sasaran sehingga jarak 50 kilometer merupakan antara yang terbaik kerana mempunyai ketepatan yang tinggi.
Filipina menjadi pengguna kedua sistem peluru berpandu SPYDER selepas Singapura dan Vietnam. Negara itu pada 2018 membeli tiga bateri sistem SPYDER dari firma Israel, Rafael dengan kos dianggarkan sebanyak USD141 juta.
Perolehan ini adalah sebahagian daripada rancangan memodenkan angkatan tenteranya menerusi Program Horizon 2. Program pemodenan pertahanan ini yang berlangsung dalam tiga fasa bermula 2013 sehingga 2028 melibatkan belanjawan keseluruhan sebanyak USD40 bilion.
Vietnam pula lebih awal mengoperasikan SPYDER apabila menerima sistem ini pada tahun 2016. Dalam konteks serantau, Vietnam mempunyai sistem pertahanan udara di darat yang paling ampuh, malah sangat berkemahiran berdasarkan penggunaan semasa Perang Vietnam.
Pada 2012, Vietnam membeli dua bateri sistem peluru berpandu permukaan ke udara jarak jauh S-300 PMU-2. Negara jiran di utara, Thailand sejak tujuh tahun lalu mengoperasikan sistem peluru berpandu permukaan ke udara KS-1C buatan China.
Pada 2018, ia memperolehi sistem peluru berpandu pertahanan udara MICA pelancaran menegak (VL) daripada MBDA. Sehingga kini, Thailand turut mengendalikan senjata antipesawat jarak dekat seperti meriam Oerlikon GDF-007 dan peluru berpandu mudah alih Thales Starstreak.
Indonesia turut maju apabila bersetuju untuk mendapatkan sistem peluru berpandu Hisar dari Turkiye.
Hisar merupakan satu sistem pertahanan udara yang mempunyai tiga kategori iaitu jarak dekat (Hisar-A), sederhana (Hisar-O) dan jauh (Hisar-U) iaitu sehingga 100km. Ia dibangunkan oleh firma Roketsan manakala bahagian elektronik dan sensor oleh Aselsan.
Indonesia dikatakan bakal memperolehi sistem pertahanan udara Hisar-O dan Hisar-U yang akan dikenali sebagai sistem Trisula-O dan Trisula-U. Rancangan Indonesia untuk memperkasa pertahanan udara ini bagaimana pun bukanlah sesuatu yang hendak dihairankan memandangkan faktor geografi negara berpulau.
Kedudukan wilayah-wilayah yang bertaburan sebenarnya memberikan cabaran besar dalam soal menyusun kekuatan tentera. Sebab itu perolehan dari Turkiye ini dilihat hanya sebagai pelengkap kepada pembelian terdahulu.
Pada 2017, Indonesia telah memesan dua bateri sistem pertahanan udara NASAMS 2 dari firma Korngsberg Group. NASAM 2 dibangunkan bersama oleh Kongsberg Defense & Aerospace dengan firma Raytheon dari Amerika Syarikat. Perolehan bernilai AS$77 juta itu melibatkan 12 unit sistem pelancar bagi kekuatan dua buah bateri pertahanan udara.
NASAM merupakan sistem pertahanan udara jarak sederhana antara yang paling baik ketika ini yang digunakan oleh 13 buah negara.
Sebagai angkatan tentera paling maju di rantau ini, Singapura menjadi pemilik sistem pertahanan udara jarak sederhana Aster 30 buatan MBDA dan Thales. Aster 30 dipilih pada 2013 sebagai pengganti sistem peluru berpandu Raytheon MIM-23B Improved Homing-All-The-Way Killer (I-HAWK) yang sudah berusia.
Sistem peluru berpandu ini dioperasikan tentera udara republik itu (RSAF) sejak Ogos 2020 bagi melindungi ruang kota singa tersebut bersama SPYDER. Dilancarkan secara menegak dari kanister, Aster 30 mempunyai jarak yang berkesan terhadap sasaran bersaiz pesawat pejuang sejauh 70 kilometer.
Ia boleh menangani sasaran yang lebih kecil seperti kenderaan udara tanpa pemandu dan peluru berpandu. Kenderaan pelancar mudah alih boleh membawa lapan kanister. Perolehan besar seperti dibuat negara-negara jiran ini sangat dinanti-nantikan ATM, apatah lagi warganya untuk mengendalikan sistem persenjataan canggih bagi melindungi kedaulatan negara.
Dengan isu-isu serantau yang memerlukan angkatan itu diperkasakan, melindungi ruang udara negara bukan lagi sekadar satu pilihan. – airtimes.my