KUALA LUMPUR, 7 Mac – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan bahawa beliau pernah diugut untuk dipecat oleh Perdana Menteri ke-7 semasa beliau memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan.
Pendedahan dibuat oleh Pengerusi Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) itu dibuat di akaun media sosialnya.
Menurut beliau, ugutan diterima selepas 3 inisiatif dikemukakan olehnya berjaya mendapat kelulusan Kabinet.
Guan Eng yang memegang portfolio sebagai Menteri Kewangan pada tahun 2018 hingga 2020 menyatakan ketiga-tiga inisiatif yang dikemukakan oleh beliau telah mendapat bantahan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Pertama, Mahathir membantah pemberian peruntukan tahunan ahli parlimen sebanyak RM 3.8 juta kepada ahli parlimen kerajaan,
“Kedua, Mahathir membantah kajian semula kontrak kerajaan yang diberikan melalui rundingan terus dan tanpa tender terbuka,
“Mahathir tidak bersetuju dengan cadangan tender terbuka untuk menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti awam,
“Ketiga, Mahathir membantah pengurangan 18% lebuh raya tol PLUS sebagai langkah pertama ke arah pemansuhan tol,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.
Jelasnya, Menteri-menteri dalam Kabinet semestinya memaklumkan kepada Perdana Menteri tentang sebarang inisiatif pembaharuan yang mahu dicadangkan.
“Ini bukan sahaja Amalan kebiasaan tetapi juga kerana menghormati kedudukan Perdana Menteri,
“Namun sekiranya Perdana Menteri tidak bersetuju, satu-satunya alternatif yang tinggal kepada Menteri ialah merayu kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan,
“Ini telah saya lakukan sebanyak 3 kali semasa saya menjadi Menteri Kewangan (2018-2020) dalam mendapatkan kelulusan Kabinet berbanding bantahan keras Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad,” jelasnya yang menyatakan ketiga-tiga inisiatif itu dikemukakan pada waktu yang berlainan.
Guan Eng menambah, beliau pada ketika itu bersedia untuk dipecat oleh Mahathir selepas 3 kali mendapat sokongan dari Kabinet terhadap inisiatif yang dikemukakan.
“Saya berjaya mendapatkan kelulusan Kabinet daripada hampir setiap Menteri, untuk ketiga-tiga inisiatif yang menimbulkan kemarahan Perdana Menteri,
“Pada setiap 3 peristiwa Mahathir ditolak oleh Kabinet, dia mengugut untuk memecat saya kerana menentangnya atas 3 inisiatif ini,
“Saya bersedia untuk dipecat tetapi terus melaksanakan inisiatif pembaharuan yang memberikan manfaat kepada rakyat,
“Mahathir tidak melaksanakan ugutannya. Sebaliknya Mahathir meletakkan jawatan atas kerelaan sendiri pada Februari 2020,” ujar Guan Eng. – airtimes.my