Home Pertahanan dan Keselamatan Pelarasan pencen: Saya tak nak bagi janji kosong, nanti ada yang kecewa – Tok Mat

Pelarasan pencen: Saya tak nak bagi janji kosong, nanti ada yang kecewa – Tok Mat

by Nurulhuda

SENDAYAN, 7 Mac – Kementerian Pertahanan (MINDEF) tidak dapat memenuhi permintaan berkenaan penyelarasan pencen warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kerana melibatkan impak kewangan yang besar.

Namun, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, pihaknya akan menumpukan kepada proses pemberian bantuan terhadap golongan berkenaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

Jelasnya, isu berkenaan pencen ini akan melibatkan sektor perkhidmatan awam yang lain, jadi bagi membantu anggota veteran ini, kementerian menggunakan mekanisme melalui Bantuan Sara Hidup (BSH).

“Kalau kita (MINDEF) sebut pasal pencen, bukan askar sahaja yang berpencen, perkhidmatan awam pun akan pencen. Polis akan pencen, semua akan berpencen, jadi kalau bagi kepada tentera sahaja, perkhidmatan lain pun nanti akan minta benda yang sama. Ia akan melibatkan jumlah amat besar,

“Saya tidak yakin kerajaan akan menerima kertas cadangan dari Menteri Pertahanan (mengenai isu pelarasan pencen), saya tak nak bagi janji-janji kosong kalau kata susah, susah lah,

“Saya tak mahu jadi macam orang lain. Kata kita (MINDEF) akan buat, kita akan buat dan akhirnya tidak dilaksanakan. Sehingga mengecewakan veteran kita,

“Tapi apa yang boleh kami buat, kami akan salurkan melalui bantuan sara hidup bulanan ini yang mana ia akan diberikan secara berterusan dan bulanan,” jelasnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Wisma Perwira, Pangkalan Udara Sendayan, hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, Kementerian Pertahanan akan menumpukan kepada proses pemberian bantuan terhadap golongan veteran melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

Mohamad turut menjelaskan, terdapat lebih 20 jenis bantuan yang boleh dimanfaatkan oleh veteran ATM melalui JHEV sekiranya mereka berdaftar dengan persatuan tersebut.

“Di JHEV, terdapat lebih 20 bantuan yang kadang-kadang ahli veteran itu sendiri tidak tahu, kerana mereka selepas keluar dari perkhidmatan terus bawa haluan masing-masing,

“Sehubungan itu, saya nasihatkan kepada semua veteran apabila sudah tamat perkhidmatan mereka, segera berdaftar sebagai ahli persatuan veteran di kawasan mereka,

“Supaya apa juga nanti masalah yang mereka hadapi dapat disalurkan melalui persatuan ini dan persatuan akan menghubungi JHEV ATM,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Mohamad telah menyempurnakan penganugerahan PJM kepada 450 orang veteran ATM, balu serta wakil waris sebagai pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.

Penganugerahan yang telah dilaksanakan bermula pada 3 Mac 2004 ini hanya dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply