Home Semasa Propaganda DAESH: PDRM pantau media sosial kumpulan terlibat – KPN

Propaganda DAESH: PDRM pantau media sosial kumpulan terlibat – KPN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau secara rapi aktiviti penyebaran propaganda melalui media sosial oleh kumpulan di negara ini yang mempunyai kaitan dengan ‘Negara Islam’ (DAESH).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan itu didapati adalah berasaskan maklumat yang diperoleh daripada Nordic Counter Terrorism Network dari Finland.

Beliau menjelaskan, PDRM sejak awal telah mengesan dan terus memantau secara rapi penyebaran propaganda melalui media sosial yang digunakan kumpulan pengganas itu untuk meraih sokongan.

“Antara langkah PDRM ialah mewujudkan kolaborasi rapat dengan agensi keselamatan serantau bagi memantau penyebaran propaganda sedemikian agar tindakan dapat diambil ke atas pihak yang dikenal pasti terlibat,

“Dalam usaha ini, semua agensi sedang memainkan peranan secara aktif dan pemantauan telah ditingkatkan bagi memastikan tahap ancaman keselamatan terjamin,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Acryl Sani turut menasihatkan orang ramai agar tidak gusar dengan laporan media mengenai aktiviti penyebaran propaganda oleh pihak yang menyokong DAESH.

“Berdasarkan situasi semasa, PDRM memberi jaminan tahap keselamatan negara terkawal,

“Pada masa sama, PDRM juga komited dalam memastikan sebarang aktiviti yang boleh mendatangkan kemudaratan ketenteraman awam diambil tindakan tegas, tanpa kompromi demi mengekalkan kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply