KUALA LUMPUR, 2 Jan – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan dapat mengambil langkah segera dalam memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baru COVID-19 pada tahun ini yang telah dikesan di beberapa negara.
Beliau turut berharap agar kerajaan dapat melaksanakan langkah bagi meringankan beban kehidupan rakyat, terutamanya dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka lebih mencabar tahun ini.
“Golongan yang miskin semakin bertambah akibat kesempitan hidup,
“Lebih 60 peratus penduduk negara kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah. Mereka memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan,” katanya menerusi perutusan tahun baru 2023 yang dikongsikan melalui akaun Facebook rasminya pada Ahad.
Sehubungan itu, Muhyiddin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tumpuan kepada perkara penting itu menerusi langkah yang mesti diputuskan Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan oleh setiap agensi kerajaan berkaitan.
“Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah dan kita semua dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman, selamat dan sejahtera,” kata bekas pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu.
Dalam hantaran yang sama, beliau juga menasihatkan rakyat mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung cara untuk menghindari jangkitan COVID-19 termasuk keperluan mengambil suntikan dos penggalak. -airtimes.my