Home Semasa BERSIH tolak kluster mahkamah sertai kabinet

BERSIH tolak kluster mahkamah sertai kabinet

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menolak dengan tegas sebarang pelantikan mana-mana wakil rakyat yang sedang menjalani pendakwaan jenayah ke sebarang jawatan kabinet.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH hari ini menjelaskan, penolakkan itu dilakukan kerana hal yang demikian akan menjejaskan integriti dan kepercayaan rakyat terhadap Jabatan Peguam Negara (AGC) dan badan kehakiman.

BERSIH juga mengingatkan bahawa gerakan politik sedemikian boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mencemarkan reputasi negara.

“BERSIH berpandangan bahawa sehingga dan melainkan kedua-dua pihak pendakwaan dan kehakiman benar-benar bebas daripada pengaruh politik, ahli politik yang masih mempunyai kes mahkamah mengambil jawatan eksekutif adalah langsung tidak boleh diterima,

“Ini kerana sebarang pembebasan akan dilihat sebagai pemberian pengampunan kepada mereka yang di pihak Eksekutif, sekalipun jika kes mereka secara meritnya layak dibebaskan,

“Hal ini akan melumpuhkan keyakinan rakyat terhadap kedua-dua AGC dan kehakiman,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut BERSIH, pihaknya juga meluahkan kebimbangan dengan cadangan pihak tertentu dan individu supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dipertimbangkan untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam pembentukan kabinet baru nanti.

“Zahid masih dalam perbicaraan untuk 47 pendakwaan jenayah pecah amanah dalam kes Yayasan Akalbudi,

“Walaupun beliau telah dibebaskan daripada 40 tuduhan Rasuah skim visa VLN oleh Mahkamah Tinggi pada 22 September 2022, pasukan pendakwaan juga telah mengemukakan rayuan untuk kes tersebut,” tambah BERSIH.

Sehubungan itu, BERSIH turut menggesa semua parti dalam kerajaan campuran supaya mengelak daripada menamakan individu yang sedang berdepan dengan kes mahkamah untuk pertimbangan Perdana Menteri.

“Wakil rakyat yang sedang menjalani kes rasuah seperti (Pengerusi DAP) Lim Guan Eng, Presiden MUDA) Syed Saddiq dan (Pengerusi BN Sabah) Bung Mokhtar Radin,

“Mereka semua tidak seharusnya dilantik ke dalam kabinet sehingga kes mereka selesai sepenuhnya oleh mahkamah tanpa sebarang campur tangan Eksekutif melalui Jabatan Peguam Negara,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Gabungan pemantau Pilihan Raya itu juga mengulangi keperluan mendesak untuk mereformasi AGC dengan memisahkan kuasa mendakwa kepada sebuah jabatan pendakwaraya yang bebas.

“Sebagai langkah segera, peranan pendakwaan perlu dipindahkan sementara Peguam Cara Negara, jawatan kedua yang tidak politik di Jabatan Peguam Negara,

“Tindakan ini adalah untuk mengambil pendirian neutral terhadap semua kes yang sedang berjalan, terutamanya melibatkan ahli politik,

“Pengurusan kes-kes ini tidak boleh dijadikan alat tawar-menawar untuk pembentukan kerajaan atau Kabinet,” jelas BERSIH lagi. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?