KUALA LUMPUR, 23 Nov – Hari ini tular 3 keping gambar yang didakwa salinan surat Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketiga-tiga surat tersebut turut dikongsikan di laman media sosial rasmi bekas ahli parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Tan Sri Annuar Musa kongsikan salinan surat yang didakwa telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh Pengerusi BN. Foto: FB Annuar Musa
Mengulas surat tersebut, beliau menyatakan kandungan yang terdapat pada surat terbabit adalah bercanggah dengan keputusan Dewan Tertinggi BN.
“Sekarang tersebar surat ini di media sosial. Lihat perkara 4. Pengerusi BN mendakwa dan menyembah maklum kepada Agong bahawa beliau telah mempengerusikan mesyuarat BN pada 22hb Nov,
“Dan mesyuarat memutuskan semua 30 ahli parlimen bersetuju menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,
“Kita sebaliknya di maklumkan BN memutuskan tidak menyokong mana-mana calon. Siapakah yang berbohong di sini?” kata Annuar dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi beliau.

Annuar Musa menyanggah Perkara 4 dalam surat yang tular, Beliau mendakwa ianya tidak dicapai semasa mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Foto: FB Annuar Musa
Tambahnya, rakyat menuntut penjelasan pemimpin-pemimpin BN yang terlibat khasnya ahli mesyuarat Dewan Tertinggi.
“Jika surat kepada Agongmerupakan satu percubaan menipu Baginda, ianya satu kesalahan yang amat berat yang sekali lagi dibuat oleh orang yang sama seperti dilakukan pada bulan Oktober 2020,” jelas Annuar.
Beliau mengatakan kekecohan bahawa ahli parlimen BN pada ketika itu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah satu pembohongan.

Surat yang didakwa telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong telah menyatakan kesemua ahli BN menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10. Foto: FB Annuar Musa.
Tambahnya, laporan polis perlu dibuat agar penyiasatan dapat dilakukan terhadap surat itu.
“Laporan polis patut dibuat agar penyiasatan dibuat atas perbuatan durjana ini terhadap Agong,
“Rakyat dan ahli UMNO dan BN akar umbi juga harus bangkit memperbetulkan kedurjanaan ini jika benar ia telah dilakukan.
Penyebaran surat terbabit telah mendapat perhatian parti MCA yang juga merupakan komponen BN.
Beliau menyatakan kandungan surat tersebut adalah bertentangan dengan keputusan sebulat suara ahli mesyuarat BN yang diadakan semalam.
“Sebaliknya, Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – airtimes.my