Home PolitikBarisan Nasional Surat sokongan Anwar jadi PM bukan keputusan Dewan Tertinggi BN

Surat sokongan Anwar jadi PM bukan keputusan Dewan Tertinggi BN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Nov – MCA hari ini mendedahkan surat sokongan ditandangani Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan sokongan terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 tidak sejajar sepenuhnya dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Pengerusi BN itu membuat keputusan tersebut tanpa memaklumkan kepada Dewan Tertinggi BN.

Menurutnya, setakat ini, BN terus kekal dengan keputusan untuk berkecuali dalam memberi sokongan kepada Anwar.

“Ditegaskan bahawa isi kandungan surat bertarikh 22 November 2022 (semalam) dengan menggunakan kepala surat BN yang ditandatangani Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Pengerusi PH sebagai Perdana Menteri ke-10, bukan keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN semalam.

“Sebaliknya, Dewan Tertinggi BN kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sin Woon menjelaskan, MCA dan parti komponen lain turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid ketika Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi yang dilihat bercanggah dengan keputusan Dewan Tertinggi BN.

“Beliau cuba menafikan mengenai surat itu, namun mengakuinya selepas seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih,

“Surat yang diserahkan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat yang salah,” ujarnya.

Tambahnya, MCA percaya Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai Pengerusi dan sekali lagi menggesa beliau meletakkan jawatan secara terhormat seterusnya digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

Tangkapan layar surat yang ditandatangani oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zahid Hamidi dari akaun FB Tan Sri Annuar Musa.

Terdahulu, tular sepucuk surat yang dihantar Ahmad Zahid ke Istana Negara yang kononnya 30 Ahli Parlimen BN sebulat surat memberikan kepercayaan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply