Home Politik PRU15: Hari penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman esok

PRU15: Hari penamaan calon Parlimen Padang Serai, DUN Tioman esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang diadakan semula secara serentak pada esok, 24 November (Khamis).

PRU-15 di kedua-dua kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang sudah disahkan bertanding iaitu M Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md Yunus Ramli dari Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Tioman.

Sehubungan itu, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk indera Ikmalrudin Ishak memaklumkan, bakal calon yang ingin bertanding dalam PRU ini boleh menyerahkan kertas penamaan calon dari jam 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi masing-masing di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim dan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin.

“Calon-calon yang sah dinamakan bagi PRU15 di kedua-dua kawasan itu sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi, untuk menentukan giliran pada kertas undi,

“Manakala, calon-calon baharu yang ingin bertanding pula perlu menyerahkan kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan disemak oleh pejabat pegawai pengurus serta oleh calon atau penyokong atau pencadangnya, esok,” jelasnya dalam kenyataan pada Rabu.

Karupaiya, 69, penyandang kerusi Parlimen Padang Serai dimasukkan ke Hospital Kulim pada 14 November, selepas rebah ketika berkempen akibat serangan jantung dan meninggal dunia pada 2.27 petang 16 November.

Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan 6 penjuru menentang 5 lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (PEJUANG), Datuk C Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (PN) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU-15, Sabtu lepas.

Manakala, Md Yunus, 61, Ketua PAS Cawangan Sungai Puteri meninggal dunia pada 3.30 pagi hari pengundian PRU-15 di Hospital Rompin menyebabkan SPR Pahang memaklumkan proses pengundian bagi kerusi Dun Tioman ditangguhkan.

PRU-15 bagi DUN Tioman sepatutnya membabitkan pertembungan 5 penjuru antara Md Yunus, Sulaiman Bakar (Bebas), Osman A. Bakar (PEJUANG), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Datuk Seri Mohd Johari Hussain (BN). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply