Home Semasa Projek RM285 juta diluluskan pada Nov 2020 bukan selepas Parlimen bubar – KASA

Projek RM285 juta diluluskan pada Nov 2020 bukan selepas Parlimen bubar – KASA

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan bahawa Projek Naik Taraf Loji Bagi Kawasan Tadahan Pembetungan di Klang Selatan melibatkan kos RM285 juta diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

KASA menerusi kenyataan berkata, projek tersebut telah diluluskan pada November 2020 di bawah Rolling Plan 1 (RP1) Tahun 2021 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menurut KASA, proses perolehan projek itu telah bermula sejak 6 Oktober lalu sedangkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober 2022.

“KASA sangat berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan dalam tempoh kerajaan caretaker ini,

“Justeru itu, kenyataan yang tular adalah tidak berbangkit sama sekali kerana tiada sebarang ikatan kontrak telah dijalin antara kerajaan dengan syarikat dalam tempoh ini,” jelas KASA.

Dalam masa yang sama, KASA menegaskan bahawa surat yang didakwa kononnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) tersebut perlulah disiasat terlebih dahulu oleh pihak berkuasa.

Tambah KASA, kenyataan pihak yang mendakwa bahawa kerajaan telah meluluskan projek selepas pembubaran Parlimen adalah satu tohmahan yang tidak berasas sama sekali.

Semalam, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendedahkan projek naik taraf loji bernilai RM285 juta itu telah diluluskan oleh KASA kepada sebuah syarikat selepas Parlimen dibubarkan.

Berdasarkan surat yang ditunjukkannya itu, ia dihantar oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Asri Hamidon kepada Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Zaini Ujang, bertarikh 7 Oktober.
Surat itu menyatakan menteri kewangan telah meluluskan agar projek tebatan banjir Sungai Langat 2 diberikan secara rundingan terus kepada syarikat yang didakwa Rafizi sebagai ‘kroni UMNO’. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply