Home Semasa Sultan Johor kurnia 103,000 khemah kegunaan di PPS

Sultan Johor kurnia 103,000 khemah kegunaan di PPS

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU, 14 Sept – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 103,000 unit khemah kubik bernilai RM19 juta kepada negeri-negeri seluruh Malaysia.

Khemah kubik kurniaan Sultan Ibrahim menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) itu adalah untuk kegunaan sewaktu bencana alam bagi menempatkan mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Majlis simbolik penyerahan khemah kubik kepada wakil setiap negeri disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berangkat sebagai wakil rasmi Sultan Johor pada majlis yang berlangsung di Istana Polo, Pasir Pelangi pada Selasa.

Setiap negeri mendapat lebih 5,000 unit khemah yang disumbangkan YSIJ.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani dan Pemegang Amanah Urusan YSIJ, Datuk Avinderjit Singh.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Sri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Zaidi Johari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pembangunan), Datuk Zakuan Zakaria turut hadir.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pengurusan Pasca Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA Malaysia), Datuk Khairul Shahril Idrus.

Sementara itu, Avinderjit Singh berkata, kurniaan tersebut dibuat atas keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap rakyat negara ini.

“Baginda amat prihatin dengan kebajikan rakyat sewaktu bencana dan kurniaan khemah ini boleh digunakan untuk penempatan mangsa-mangsa di PPS,” jelasnya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply