Home Semasa Kerajaan setuju ganti hukuman mati mandatori termasuk satu kesalahan dadah

Kerajaan setuju ganti hukuman mati mandatori termasuk satu kesalahan dadah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Kerajaan bersetuju dengan cadangan hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori termasuk satu kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234).

Persetujuan secara dasar itu juga membabitkan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati, tetapi dengan budi bicara mahkamah serta moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi 1,337 banduan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan telah memuktamadkan keputusan dasar berhubung pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

Beliau memaklumkan, keputusan itu dicapai dalam 2 siri mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Cadangan Balas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikannya pada pada 6 dan 13 September 2022.

“Kerajaan secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234),

“Selain itu, 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah serta moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi 1,337 banduan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, Wan Junaidi menjelaskan, satu memorandum akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dipertimbang dan diluluskan sebelum pindaan terhadap undang-undang terlibat dibentangkan bagi bacaan pertama dalam sidang Dewan Rakyat pada 4 Oktober serta bacaan kedua pada sidang 22 November ini.

“Kerajaan juga akan mengadakan satu sesi libat urus bersama wakil ahli Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membentangkan penetapan dasar berkaitan pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori,

“Dalam hal ini, kerajaan sentiasa komited untuk memperjuangkan undang-undang yang lebih adil dan penuh belas kasihan dalam isu sebatan serta pelaksanaan hukuman mati,” jelasnya.

Pada Jun lalu, Wan Junaidi memaklumkan persetujuan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Menurutnya, kajian lanjut ini akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri serta lain-lain kementerian dan jabatan berkepentingan.

Tindakan ini amat signifikan bagi memastikan pindaan akta-akta yang berkaitan mengambil kira prinsip ‘proportionality’ serta keperlembagaan (constitutionality) mana-mana cadangan kepada kerajaan nanti. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply