KUALA LUMPUR, 27 OKT – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu, berkuatkuasa 31 Januari 2024.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khas hari ini bersetuju memilih Sultan Ibrahim menjadi Agong ke-17.
“Menjunjung titah, saya memaklumkan, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober (hari ini) bersetuju mengisytiharkan, Sultan lbrahim, Sultan Johor dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVll, selama tempoh 5 tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024,
“Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama 5 tahun mulai dari tarikh sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-263 (Khas) bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Mesyuarat yang bermula 10.10 pagi itu dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Raja Melayu, kecuali Kelantan dan Perlis.
Pemilihan itu diadakan susulan tempoh 5 tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bakal tamat pada 30 Januari tahun depan.
Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama. -airtimes.my
#semasa #DaulatTuanku #Malaysia #airtimes