Home Semasa Kenyataan palsu: Sultan Johor titah buat laporan polis sekali lagi

Kenyataan palsu: Sultan Johor titah buat laporan polis sekali lagi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengarahkan laporan polis sekali lagi dibuat susulan penyebaran gambar beserta kenyataan palsu mengaitkan Baginda di media sosial.

Baginda bertitah, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan Baginda ataupun keluarga diraja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office.

“Kenyataan palsu ini sudah beberapa kali disebarkan dalam media sosial dan masih berterusan sehingga ke hari ini,

“Saya menitahkan Royal Press Office untuk sekali lagi membuat laporan polis berhubung perkara ini,” titah baginda di Facebook Baginda, semalam.

Baginda sekali lagi menegaskan, tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam gambar itu.

“Ini adalah satu kenyataan palsu yang disebarkan secara berterusan oleh pihak tidak bertanggungjawab di dalam pelbagai aplikasi media sosial,

“Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) sebelum ini sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan palsu ini,” titah baginda.

Terdahulu, tular di media sosial gambar yang memaparkan Baginda dan bendera Johor dengan kenyataan palsu iaitu ‘Kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala alasan dan tipu helah’.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply