Home Semasa Cuti hujung minggu: Tak payah kecoh atau dipolitikkan – Sultan Johor

Cuti hujung minggu: Tak payah kecoh atau dipolitikkan – Sultan Johor

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah bahawa tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan Kerajaan Negeri untuk menukar semula cuti hari minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad.

Baginda bertitah, cadangan itu akan diteliti setiap sudut baik buruknya dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi.

“Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi,

“Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan,” katanya kepada Royal Press Office (RPO), pada Selasa.

Pada 14 Jun lalu Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula penetapan cuti hujung minggu yang dilaksanakan setiap Jumaat dan Sabtu sejak 2014.

Mengulas lanjut, Baginda bertitah bahawa buat masa ini Baginda mahu kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Johor serta kepentingan rakyat.

“Kerajaan negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan,” titah Baginda.

Justeru, Sultan Ibrahim bertitah agar semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.

Titahnya, baginda akan membuat pengumuman apabila berpuas hati dan cukup yakin keputusan diambil itu adalah yang terbaik untuk Johor.

Bermula 1 Jan 2014, Sultan Ibrahim mengubah cuti mingguan Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari serta pengiktirafan agama Islam sebagai agama negeri Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal iaitu Jumaat dan Sabtu, yang dilaksanakan di Johor sejak sekian lama sebagai sebuah negeri Melayu tidak bersekutu.

Johor melaksanakan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Besar.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply