Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Perolehan aset komando mesti ikut kehendak GGK, bukan ditentukan pihak lain – Sultan Johor

Perolehan aset komando mesti ikut kehendak GGK, bukan ditentukan pihak lain – Sultan Johor

by Air Times News Network

MERSING, 5 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, perolehan aset komando mesti dibuat mengikut spesifikasi dan keperluan yang diberikan oleh Gerup Gerak Khas (GGK), bukannya ditentukan pihak lain.

Sultan Johor yang juga Kolonel Komandan GGK bertitah, mengingatkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) supaya jangan sesuka hati membuat perolehan aset untuk Gerak Khas tanpa merujuk baginda.

“Jangan bazirkan duit kerajaan dengan menerima sahaja peralatan yang dijual oleh ejen pembekal sedangkan peralatan tersebut tidak sesuai dengan gerak kerja komando,

“Suka juga saya ingatkan kepada pihak kementerian, apabila membuat sesuatu perolehan aset, jangan lupa sediakan peruntukan untuk penyelenggaraan aset tersebut,

“Tidak guna membeli barang kalau tidak mampu dijaga. Cubalah bandingkan bot dibeli oleh komando sendiri dengan bot yang saya belikan, yang mana masih dalam keadaan baik? Dan yang mana sudah rosak tersadai di stor simpanan,” titah baginda semasa perbarisan sempena Hari Ulang Tahun (HUT) GGK Ke-57 bertempat di Padang Kawad Markas 21 GGK, Kem Iskandar, hari ini.

Baginda bertitah, peralatan ketenteraan amat penting untuk pasukan GGK mengalaskan tugas yang diberikan selain daripada kekuatan anggota.

“Teguran yang dibuat itu bukanlah sesuatu yang baharu, namun perkara berkenaan masih lagi berlaku sehingga ke hari ini,

“Ingat pesanan saya.., saya berdiri di sini sebagai Kolonel Komandan Gerak Khas yang memikul amanah bukan sebagai patung untuk menghiasi upacara majlis sahaja,” titah baginda.

Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Perbarisan terdiri daripada 18 pegawai dan 173 anggota GGK, diketuai oleh Kolonel Normin Mohd Shahar diiringi Pancaragam Gabungan GGK dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Nubli Hashim.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian Lencana Penuh dan Anugerah Jaguh Sukan Gerak Khas yang disempurnakan oleh Sultan Ibrahim kepada atlet yang cemerlang bagi tahun 2019 hingga 2021 di hanger Skuadron Perahu Khas.

Penganugerahan itu adalah berdasarkan penglibatan dan pencapaian di peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan antarabangsa. – airtimes.my

Galeri gambar:

 

 

Related Articles

Leave a Reply