JOHOR BAHRU, 16 Jun – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah kepada Kerajaan Persekutuan untuk memberikan peruntukan yang lebih banyak kepada negeri ini.
Baginda turut menzahirkan perasan sedih dengan keadaan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.
“Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara,
“Saya menyeru kerajaan Persekutuan segera tunaikan janji untuk menaiktaraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru menjadi empat lorong sepenuhnya,
“Lihatlah juga keadaan jalan-jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya,” titah Baginda ketika berangkat pada majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-15.
Titah Sultan Ibrahim turut dikongsikan di laman akaun sosial rasmi Baginda.
Dalam titah yang sama, Baginda yakin bahawa Johor mampu untuk maju sekiranya berdiri di atas kaki sendiri.
“Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia,” tegas Baginda.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 untuk membatalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh.
“Semua pihak mesti ingat tentang kuasa-kuasa negeri yang termaktub di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957. Jangan buat keputusan sesuka hati,
“Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri, setelah dia mengarahkan Peguam Negara cuti berehat dan ketika kabinet belum lagi dibentuk. Kerajaan Johor juga langsung tidak dirujuk, sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan Negeri Johor,” titah Baginda. – airtimes.my
