Home Pertahanan dan Keselamatan Jangan ada pegawai GGK berpolitik untuk dapatkan pangkat atau jawatan – Sultan Johor

Jangan ada pegawai GGK berpolitik untuk dapatkan pangkat atau jawatan – Sultan Johor

by Air Times News Network

MERSING, 8 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah memperingatkan supaya jangan ada pegawai Gerup Gerak Khas (GGK) yang berpolitik untuk mendapatkan pangkat atau jawatan tertentu.

“Saya harap selepas ini pihak Panglima Tentera Darat dan Panglima GGK jangan pandai-pandai buat keputusan sendiri, sembahkan dulu cadangan kenaikan pangkat dan penempatan pegawai kanan untuk saya diperkenankan,” titah baginda semasa perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) GGK) yang ke-57 di Padang Kawad Markas 21 GGK, Kem Iskandar pada Jumaat.

Sultan Johor yang juga Kolonel Komandan GGK bertitah memperingatkan jangan ada mana-mana pihak yang cuba untuk memecah belahkan kesatuan komando dengan mewujudkan kem-kem kecil atau kumpulan yang berpuak-puak mengikut haluan dan kepentingan masing-masing.

“Kita semua mesti bersatu hati untuk membentuk satu rejimen yang kuat, tersusun, sempurna ibarat kata pepatah serumpun bak serai, tersusun bak sirih,

“Bagi mengukuhkan organisasi GGK, perancangan dan pembangunan sumber manusia yang lebih tersusun mesti dibuat supaya pegawai pelapis yang berkualiti dapat dihasilkan secara berterusan,” titah baginda.

Titah baginda, penilaian akan dibuat mengikut merit dan bersandarkan kepada latar belakang serta laporan prestasi pegawai berkenaan serta saya tidak mahu ada unsur pilih kasih atau mengikut kem yang tertentu.

“Suka juga saya tegaskan bahawa semua pangkat dan penjawatan yang telah dikhususkan kepada GGK tidak boleh diberikan atau dipinjamkan kepada kor yang lain,

“Jangan pandang GGK ini sebelah mata, jika ada mana-mana pihak yang membelakangkan saya maka tidak guna untuk saya terus kekal menjadi kolonel komanda GGK, jangan buang masa saya,” titah baginda.

Turut berangkat ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Perbarisan terdiri daripada 18 pegawai dan 173 anggota GGK, diketuai oleh Kolonel Normin Mohd Shahar diiringi Pancaragam Gabungan GGK dan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply