Home Semasa RUU Anti Lompat Parti: Bukti komitmen kerajaan capai kestabilan politik – PM

RUU Anti Lompat Parti: Bukti komitmen kerajaan capai kestabilan politik – PM

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Pembentangan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) dan pindaan Perlembagaan Berkenaan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti di Dewan Rakyat hari ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mencapai kestabilan politik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, langkah itu juga dapat mengelakkan negara daripada terus berdepan dengan krisis politik yang tiada kesudahan.

“Kerajaan memandang serius tindakan bertukar parti atau ‘lompat parti’ kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil mereka,

“Kerajaan juga sentiasa mendengar dan mempertimbangkan pandangan setiap Ahli-Ahli Dewan Rakyat termasuk ahli Jemaah Menteri terhadap keperluan menggubal peruntukan larangan bertukar parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menjelaskan, Jawatankuasa Pilihan Khas yang diwakili oleh pihak kerajaan dan pembangkang turut menerima pandangan bertulis daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), CSO, ahli akademik dan parti politik.

“Antaranya seperti The Coalition for Clean and Fair Elections (BERSIH), Transparency International Malaysia (TI-M) dan Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR),” tegasnya.

Tambahnya, pindaan undang-undang ini juga untuk memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Rakyat supaya berpegang kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli Dewan Rakyat ketika proses pilihan raya.

Jelasnya, Rang Undang-Undang ini merupakan satu sejarah besar negara dan saya berharap ia akan mendapat sokongan penuh dan diluluskan sebulat suara dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

Terdahulu, Perdana Menteri telah membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, penggubalan rang undang-undang itu mengambil masa hampir setahun dan proses penggubalannya bukan mudah kerana melibatkan masa, tenaga dan komitmen semua pihak terlibat iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Parlimen Malaysia.

“Sokongan semua Ahli Parlimen kepada pindaan rang undang-undang itu amat penting memandangkan keperluan Fasal (3) Perkara 159 yang tertakluk kepada Fasal (4) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan tidak kurang dari dua pertiga atau 148 (jumlah minimum) daripada jumlah Ahli Majlis Parlimen,

“Besarlah harapan saya agar rang undang-undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia. Rang undang-undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu kerajaan dan pembangkang,

“Semoga rang undang-undang ini berupaya melakar sejarah sepertimana Pindaan Perlembagaan Berkaitan Perjanjian Malaysia Tahun 1963 yang memperoleh sokongan penuh daripada semua Ahli-ahli Parlimen yang berjiwa besar,” katanya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply