Home Pertahanan dan Keselamatan Operasi PATKOR OPTIMA Malaysia-Indonesia banteras aktiviti jenayah rentas sempadan

Operasi PATKOR OPTIMA Malaysia-Indonesia banteras aktiviti jenayah rentas sempadan

by Nurulhuda

KLANG, 27 Jul – Operasi Patrol Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA) siri 29A/2022 antara agensi penguat kuasa maritim dari Malaysia dan Indonesia telah dilaksanakan di perairan Selat Melaka pada 25 Julai hingga Ogos ini.

Majlis perasmian telah disempurnakan bersama oleh Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim kedua-dua negara di Hotel Priemere, semalam.

Laksamana Pertama Maritim, V. Pannir Selvan, selaku Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) bagi pihak Malaysia manakala Laksamana Pertama BAKAMLA, Bambang Irawan S.E.M. Tr. Sopla selaku Ketua TPOM mewakili pihak Indonesia.

V. Pannir Selvan berkata, operasi yang diadakan secara dwi-tahunan telah memilih Malaysia sebagai tuan rumah bagi majlis pembukaan pada siri kali ini.

Menurutnya, operasi yang dilaksanakan secara bersepadu dikoordinasi oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), turut melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Selain itu, operasi ini turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) ,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, sebanyak 12 buah aset dari Malaysia dan 5 buah aset dari Indonesia diatur gerak untuk membuat pengawasan di sepanjang Selat Melaka dalam operasi ini.

“PATKOR OPTIMA merupakan platform kerjasama strategik antara penguat kuasa maritim dari kedua-dua negara bagi mengenal pasti isu-isu semasa membabitkan salah laku jenayah rentas sempadan serta kaedah terbaik menyelesaikannya,

“Pelaksanaan program ini secara dwi-tahunan telah tertangguh kira-kira dua tahun disebabkan Pandemik COVID-19,

“Eksesais serta operasi ini adalah penting dilaksanakan semula, memandangkan Selat Melaka adalah laluan utama perkapalan dunia serta titik panas bagi aktiviti jenayah rentas sempadan,” ujarnya.

Tambahnya, kolaborasi serta persefahaman menguatkuasakan undang-undang oleh Malaysia – Indonesia adalah penting, dalam usaha membanteras jenayah rentas sempadan yang memerlukan komitmen bersepadu antara semua pihak.

“Salah laku jenayah seperti penyeludupan migran, penyeludupan dadah dan kontraban serta isu pencerobohan bot nelayan merupakan kegiatan jenayah yang lazim berlaku di Selat Melaka,

“Oleh itu PATKOR OPTIMA ini amat diperlukan agar kesejahteraan perairan kedua-dua negara sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram serta selamat,” tambahnya.

PATKOR OPTIMA siri 29A/2022 dimulakan dengan sesi pembentangan dan perbincangan di antara agensi maritim kedua-dua negara, sebelum ke fasa rondaan di laut sehingga 5 Ogos 2022.

Majlis penutup operasi bakal berlangsung di Indonesia.-airtimes.my

Faleri gambar:

Related Articles

Leave a Reply