Home Pertahanan dan Keselamatan Skandal LCS: SPRM ada cukup bukti dakwa individu terlibat

Skandal LCS: SPRM ada cukup bukti dakwa individu terlibat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 27 Jul – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan mempunyai bukti yang mencukupi untuk membawa pertuduhan terhadap beberapa individu yang terlibat dalam skandal Kapal Tempur Persisir (Littoral Combat Ship, LCS).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, SPRM juga dilaporkan sudah menyelesaikan beberapa bahagian kes dan mencadangkan pertuduhan terhadap suspek.

“SPRM mengesahkan mereka mempunyai bukti yang mencukupi untuk membawa pertuduhan terhadap beberapa individu yang terlibat dalam skandal LCS,

“Oleh itu, Jabatan Peguam Negara seterusnya memutuskan tindakan yang sewajarnya berdasarkan laporan SPRM tersebut,” katanya sewaktu pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) yang bertanyakan tindakan Kementerian Pertahanan terhadap salah laku dan pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kelewatan penyiapan LCS.

Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan, Kementerian Pertahanan akan terus memberi kerjasama dan sokongan penuh kepada SPRM berhubung isu terbabit.

“Kementerian Pertahanan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan jika terdapat salah laku yang menyebabkan kelewatan perolehan ini,

“Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak, sekiranya masih terdapat bukti baharu atau maklumat tambahan, untuk melaporkan terus kepada pihak berkuasa,

“Kementerian tidak akan sesekali mempertahankan serta berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dalam proses perolehan LCS ini,” tambahnya.

Sebelum ini, SPRM melaporkan telah menahan 2 Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal LCS.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply