JOHOR BAHRU, 27 Jul – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menumpaskan sebuah sindiket membekal dan membawa masuk tukang urut warga Thailand dalam satu siri operasi khas yang dijalankan selama 3 hari bermula 21 hingga 23 Julai 2022 di sekitar Johor Bahru.
Dalam operasi ini JIM telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur lingkungan 40 tahun yang merupakan dalang utama sindiket bersama-sama 27 individu lain.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pada 21 Julai lalu, pasukan operasi JIM telah mengesan sebuah kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu oleh dalang utama di Taman Pelangi.
“Pasukan operasi telah mengekori dan menahan kenderaan tersebut untuk melakukan pemeriksaan dan mendapati 4 orang wanita Thailand berada didalamnya bersama dalang tersebut,
“Kesemua wanita ini tidak memliliki pas yang sah semasa diperiksa dan mereka dipercayai dalam perjalanan untuk dihantar pulang ke Thailand melalui jalan yang tidak sah. Kesemua mereka yang diperiksa ditahan bersama dalang sindiket,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Lanjutan daripada tangkapan tersebut, beliau berkata, pasukan serbuan telah menyerbu rumah kediaman dalang utama dan merampas beberapa dokumen.
“Pasukan serbuan telah merampas dokumen berkaitan aktiviti sindiket membawa masuk serta membekalkan tukang urut asing ke pusat urut refleksologi termasuk spa di Johor Bahru dan sekitar kawasan selatan tanah air,” ujarnya.
Menurutnya, pasukan operasi JIM telah membuat 2 lagi serbuan di premis pusat urut dan spa di Taman Austin dan Taman Abad di Johor Bahru yang disyaki ada kaitan dengan sindiket ini.
“Hasil serbuan di kedua-dua premis ini, JIM telah berjaya menahan seramai 18 wanita dan 3 lelaki warga Thailand yang bekerja sebagai tukang urut,
“Turut ditahan 2 orang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis. Kesemua 28 orang individu yang ditahan dalam siri operasi ini berumur antara 20 hingga 52 tahun,” tegasnya.
Khairul Dzaimee menjelaskan, modus operandi sindiket adalah dengan mengatur kemasukan dan membekalkan tukang urut warga Thailand untuk bekerja di pusat-pusat urut menggunakan Pas Lawatan Sosial di sekitar Johor serta negeri-negeri berhampiran.
“Sindiket mengunakan kenalan rapat yang berada di Thailand untuk mempengaruhi lelaki dan wanita asing dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai tukang urut di Malaysia,
“Risikan juga mendapati terdapat aktiviti yang tidak bermoral turut dijalankan oleh sindiket disebalik perkhidmatan tukang urut,
“Selain itu, sindiket turut menjalankan aktiviti menghantar pulang mana-mana warga asing yang bermasalah atau warga tempatan yang ingin melepasi sempadan negara melalui laluan yang tidak sah,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati, sindiket mengenakan bayaran antara RM1,300 hingga RM1,500 bagi setiap tukang urut yang diuruskan dan dipercayai mampu mengaut keuntungan sehingga RM30,000 sebulan.
Manakala, majikan pusat-pusat urut yang terlibat disyaki mampu meraih pendapatan sehingga RM50,000 sebulan dengan menggajikan tukang urut haram. Manakala, kes disiasat dibawah Akta Imigresen. -airtimes.my