KUALA LUMPUR, 27 Jul – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa terdapat anasir asing yang aktif memberikan kad pengenalan diri dan merekrut rakyat Sabah untuk taat setia kepada Kesultanan Sulu.
Perkara tersebut didedahkan oleh setiausaha pertubuhan, Datuk Hishamuddin Hashim dalam satu hantaran di akaun media sosial rasmi MHO.
Menurut beliau, perkara tersebut diterima oleh pihaknya melalui satu aduan yang diterima dari satu aplikasi Whatsapp.
“Hantaran Whatsapp tersebut yang mengandungi gambar-gambar yang berbentuk seakan dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu,” katanya.
Jelasnya, gambar-gambar yang diterima mengandungi dokumen-dokumen pengenalan diri yang mempunyai nama dan cap jari penerima dokumen.
“Dokumen-dokumen tersebut mempunyai no pengenalan diri. Turut diterima adalah dokumen seakan perakuan taat setia kepada Kesultanan Sulu,” ujar Hishamuddin
Tambahnya, dokumen terbabit mempunya tulisan “SULU SULTANIYAH DARUL ISLAM TANDA’ KARAAYATAN TAUSUG”, “SULTAN BANTILAN MUHAMMAD MUIZUDDIN II BIN DATU WASIK –ARANAN”, “SOOLO (SULU) SULTANATE DARUL ISLAM NATION (TAUSUG NATION IDENTIFICATION CARD), “SOOLO (SULU) SULTANATE DARUL ISLAM” dan “BIRTH CERTIFICATION”.
Tegas Hishamuddin, kegiatan sebegini adalah jelas mencabar kedaulatan negara Malaysia dan juga Sabah.
“Tindakan ini sememangnya bertujuan untuk mencemarkan kedaulatan Malaysia dan juga Sabah. Taat setia kepada anasir asing, seperti Kesultanan Sulu yang jelas mempunyai sejarah hitam melancarkan keganasan dan perang terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
“Ia perlu dibendung terutamanya apabila wujudnya dokumen-dokumen identiti diri bagi Kesultanan Sulu dan juga perakuan taat setia individu-individu penduduk Sabah kepada Kesultanan Sulu,” ujar beliau.
Hishamuddin menambah, warga tempatan di Sabah yang terlibat dalam kegiatan memberikan taat setia kepada Kesultanan Sulu jelas telah melakukan suatu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan pihak-pihak yang berperang menentang Seri Paduka Baginda Yang di-Ppertuan Agong dan juga di-Pertua Negeri, Sabah.
Difahamkan, MHO telah membuat laporan polis terhadap isu tersebut di Kota Kinabalu, hari ini. – airtimes.my