Ranau, sebuah daerah kecil di negeri Sabah, Malaysia menjadi perhatian mutakhir ini kerana laporan kekerapan gempa bumi yang melanda kawasan tersebut.
Secara kebetulan, minggu lalu, dua kejadian gempa berskala rendah telah dilaporkan berlaku di Ranau dalam tempoh tujuh hari.
Gempa pertama dengan magnitud 2.8 berlaku pada Isnin, diikuti gempa kedua dengan magnitud 3.1 pada Selasa.
Fenomena ini menimbulkan tanda tanya di kalangan masyarakat, sama ada dari sudut sains geologi mahupun kepercayaan tradisional masyarakat asal Sabah.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, secara geologi, Ranau terletak di kawasan yang terletak berhampiran dengan garis sesar aktif.
Keadaan tersebut menyebabkan negeri di bawah bayu itu lebih terdedah dan kerap mengalami gempa bumi berbanding di Semenanjung Malaysia.
Gempa bumi terbesar yang pernah direkodkan ialah pada tahun 2015, dengan magnitud 6.0 pada skala richter.
Ia sekali gus memecahkan rekod gempa bumi terkuat berukuran 5.8 skala richter pernah dicatatkan di Lahad Datu, Malaysia, pada 1976 iaitu sekitar 48 tahun lalu.
Insiden tersebut meragut 18 nyawa termasuk pendaki dan malim gunung di Gunung Kinabalu. Antara yang terkorban ialah 6 warganegara Singapura, Malaysia (6), Jepun (1) dan China (1), manakala sebahagian pendaki cedera.
Mengulas lanjut, meskipun pengkaji percaya bahawa gempa bumi ini adalah sebahagian daripada proses semula jadi kerak bumi. Namun, tidak bagi penduduk asal Sabah.
Kepercayaan tradisional masyarakat Sabah
Dalam konteks budaya dan kepercayaan tradisional, masyarakat asal di Sabah mempunyai naratif unik mereka tersendiri tentang gempa bumi.
Mereka percaya bahawa Gunung Kinabalu adalah kediaman roh nenek moyang mereka dan dibawah perlindungan roh suci, Aki Nabalu.
Setiap kali berlaku gempa bumi, ia dianggap sebagai manifestasi kemarahan roh-roh tersebut kerana perbuatan manusia yang tidak menghormati tempat suci itu.
Salah satu kepercayaan yang terkenal adalah bahawa gempa bumi pada tahun 2015 berlaku selepas tindakan sekumpulan 10 pendaki warga asing yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu.
Perbuatan ini dianggap tidak menghormati kesucian gunung tersebut, yang bagi masyarakat asal Sabah, adalah tempat suci yang harus dihormati dan dijaga dengan penuh adab.
Oleh yang demikian, setiap tahun, dukun masyarakat asal Sabah atau dikenali sebagai bobolian akan mengetuai ritual ‘Monolob’ di kaki gunung bagi memohon kebenaran penjaga gunung untuk aktiviti pendakian.
Upacara ‘menenangkan roh gunung’ ini melibatkan penyembelihan 7 ekor ayam putih yang dipanggil sebagai ‘kombura’ di kalangan masyarakat Sabah.
Namun perlu penulis mengingatkan, bagi umat Islam, kita dilarang mempercayai unsur mistik atau kepercayaan tahayul yang bertentangan dengan akidah, melainkan hanya menghormati pandangan tradisi masyarakat tempatan sebagai sebahagian daripada budaya mereka.
Seperti pepatah Melayu, “masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak,” kita diajar untuk menghormati adat dan tradisi masyarakat setempat selagi tidak bercanggah dengan nilai agama.
Rentetan itu, perkaitan Ranau yang sering dilanda gempa bumi disebabkan kemarahan ‘roh penjaga gunung’ tidaklah terlalu tepat memandangkan kajian membuktikan sebaliknya. -airtimes.my
#bencanaalam #gempabumi #sabah #malaysia #keselamatan