Home Semasa Pelitup muka cop Sirim: Kenapa masuk fasa Endemik baru laksana? – PEJUANG

Pelitup muka cop Sirim: Kenapa masuk fasa Endemik baru laksana? – PEJUANG

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Apr – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menyifatkan tindakan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan keperluan untuk pelitup muka bukan perubatan mendapat kelulusan Sirim adalah tidak berpatutan sama sekali.

Ketua Biro Kepenggunaannya, Afiqah Mohammad berkata, peraturan itu tidak relevan dilaksanakan ketika ini memandangkan negara luar seperti United Kingdom dan beberapa negara Eropah tidak lagi menekankan penggunaan pelitup muka sesuai dengan transisi endemik.

“Kami faham KPDNHEP tidak akan mendenda individu yang memakai pelitup muka bukan perubatan tanpa pensijilan Sirim dan tindakan hanya akan diambil ke atas pengeluar dan pengimport, yang gagal mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan,

“Tetapi yang menjadi pertikaian apakah keperluan peraturan ini ketika negara telah memasuki ambang transisi endemik?,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau menjelaskan, keperluan peraturan itu dilihat sudah tidak relevan ketika ini kerana beberapa negara luar seperti United Kingdom dan beberapa negara Eropah sudah tidak lagi menekankan penggunaan pelitup muka sesuai dengan transisi endemik.

Tambahnya, tindakan kerajaan itu hanya akan menyebabkan harga pelitup muka meningkat sehingga tiga kali ganda.

“Apakah kerajaan ini tidak cakna dengan kos sara hidup yang amat tinggi kini, dan rakyat perlu disusahkan lagi dengan harga pelitup muka disahkan SIRIM yang 2, 3 kali ganda harganya?,

“Apakah ada pihak yang akan mengaut keuntungan hasil dari peraturan baru ini? Berdasarkan data apakah peraturan ini dibuat?,

Sebelum ini, KPDNHEP mengumumkan keperluan untuk pelitup muka bukan perubatan mendapat kelulusan Sirim hanya akan dikuatkuasakan mulai Januari 2023.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi turut menggesa industri, termasuk pengeluar dan pengimport tidak menaikkan harga pelitup muka bukan perubatan sewenang-wenangnya menjelang penguatkuasaan piawaian baharu.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply