if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home PolitikPakatan Harapan RUU Anti Lompat Parti: PH tuntut komitmen Perdana Menteri

RUU Anti Lompat Parti: PH tuntut komitmen Perdana Menteri

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Apr – Pakatan Harapan (PH) menuntut agar Sidang Khas kedua bagi meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti ditetapkan pada Isnin ini.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyatakan komitmen bahawa RUU Antilompat Parti itu akan dibentang untuk diluluskan di Parlimen dalam masa terdekat.

Tegasnya, menteri yang bertanggungjawab membentangkan Pindaan Perlembagaan berkaitan pada hari itu turut menyatakan dengan jelas di Parlimen, apakah prinsip asas undang-undang yang bakal dibentang dan diluluskan dalam Sidang Khas kedua nanti.

“PH sekali lagi menyatakan sokongan terhadap pembentangan dan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 dalam sidang khas Parlimen pada Isnin ini,

“PH juga mengulangi pendirian bahawa meluluskan RUU itu merupakan antara syarat utama dalam perjanjian persefahaman (MOU) mereka dan kerajaan,

“Namun, syarat utama ialah draf RUU Anti Lompat Parti perlu disegerakan dan perkara itu sudah ditegaskan oleh Jawatankuasa Pemandu MoU yang bermesyuarat semalam,” katanya dalam kenyataan bersama pada Jumaat.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Pakatan Harapan percaya dengan meluluskan pindaan perlembagaan dan RUU antilompat parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi berparlimen akan dapat dipulihkan.

Mereka turut menjelaskan, Ketua Pembangkang juga sudah menyampaikan pendirian PH kepada Ismail Sabri semalam.

“Majlis Presiden PH mengulangi pendirian tegas kami bahawa meluluskan RUU Antilompat Parti di Parlimen antara syarat utama dalam Perjanjian Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik,

“Amatlah jelas bahawa PH tidak akan berkompromi dalam perkara ini,

“Kami amat memahami keperluan untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bagi memberi punca kuasa untuk menggubal Akta Antilompat Parti,

“Justeru, PH akan menyokong Pindaan Perlembagaan pada sidang khas Parlimen 11 Aprill ini,” tegasnya.

Kenyataan itu menyebut, tarikh Mesyuarat Khas Dewan Rakyat kedua itu juga perlu ditetapkan dan diumum di Parlimen pada Isnin ini.

Terdahulu, kerajaan dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik sepakat bersetuju mewujudkan RUU Antilompat Parti walaupun beberapa parti termasuk UMNO dan DAP dilihat curiga perkara itu akan menjadi kenyataan.

Dalam satu kenyataan semalam, kedua-dua pihak berkata, pindaan berkenaan adalah bagi memberi kuasa untuk penggubalan akta baharu berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

“Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar dan Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik pada telah mencapai kata sepakat mengenai beberapa tindakan susulan berkaitan undang-undang yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti bagi maksud pembentangan dalam sidang khas Parlimen pada 11 April 2022,

“Selain itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk satu lagi Sidang Khas Parlimen diadakan untuk membentang, membahas, dan meluluskan undang-undang berkaitan dalam masa terdekat yang akan diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, selaras dengan Peraturan 11 (3) Peraturan-Peraturan Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” jelas kenyataan itu. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply