KUALA LUMPUR, 9 Apr – Markas Pemerintahan Armada Barat (MPAB) meneruskan kesinambungan Latihan Perang Pangkor siri 14/22 di sekitar perairan Selat Melaka, pada Jumaat.
Bahagian Komunikasi Strategik MPAB dalam satu kenyataan berkata, latihan ini membuktikan komitmen untuk kekal memastikan tahap kesiagaan armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa berada di tahap yang tertinggi.
“Latihan kali ini melibatkan aset-aset pertahanan maritim negara iaitu KD LAKSAMANA HANG NADIM, KD MAHAMIRU, KD JERAI dan KD KINABALU serta aset sokongan Fast Combat Boat TLDM,
“Aset pertahanan maritim di Armada Barat terus komited mendukung pelaksanaan latihan kesiagaan ini menerusi kelangsungan beberapa siri latihan yang dikelolakan oleh Bahagian Kesiagaan dan Prestasi, MPAB,” katanya.

Warga kapal melaksanakan latihan melawan api
Menurutnya, latihan secara berkala ini sentiasa memberikan impak yang positif dalam menilai keupayaan serta kesiagaan TLDM bagi menghadapi apa juga kemungkinan situasi ancaman maritim.
Latihan kesiagaan ini merupakan suatu pendekatan efektif dalam menyuntik serta mengekalkan tahap profesionalisme warga TLDM.

Pelaksanaan latihan pertolongan cemas
“Latihan ini akan terus dilaksanakan dan ditambahbaik dari semasa ke semasa dalam usaha memperkasakan warga TLDM sebagai sebuah angkatan yang kredibel dan sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran yang mendatang,” ujarnya. – airtimes.my
