Home Semasa Definisi lebih jelas frasa ‘lompat’ perlu dipersetujui bersama – PN

Definisi lebih jelas frasa ‘lompat’ perlu dipersetujui bersama – PN

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 9 Apr – Definisi dan perincian yang lebih jelas perlu dipersetujui bersama terhadap frasa ‘lompat’ dalam apa juga instrumen perundangan yang akan diperkenalkan oleh kerajaan kelak bagi memastikan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti mencapai matlamatnya.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gabungan tersebut secara keseluruhannya menyokong dan menyambut baik semangat serta matlamat disebalik cadangan pindaan perlembagaan persekutuan berkaitan anti lompat parti.

“Satu sesi libat urus berhubung cadangan Pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2022 berkaitan anti lompat parti telah diadakan pada 5 April 2022 lalu antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar  bersama PN,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Hamzah turut memaklumkan, Jemaah Menteri pada mesyuarat 6 April lalu bersetuju bahawa Perkara 10(3) Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda terlebih dahulu bagi memberikan ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat menggubal akta khusus berkaitan anti lompat parti dengan lebih teratur, terperinci dan boleh diterima oleh semua pihak.

“PN mengambil maklum kesediaan pihak kerajaan untuk membentangkan usul untuk meminda perlembagaan persekutuan terlebih dahulu dalam sidang khas yang akan berlangsung pada 11 April 2022,

“Keputusan itu adalah satu keputusan kerajaan yang berhemah dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Sebelum ini, Wan Junaidi mengesahkan RUU itu, yang dijadual dibentangkan pada 11 April ini, ditangguhkan sekali lagi kerana kabinet tidak bersetuju dengan pembentangannya.

Ia penangguhan kali kedua selepas pertama kali dijadual dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, sidang khas Dewan Rakyat akan diteruskan dengan pembentangan pindaan Perlembagaan bagi memudahkan RUU Anti Lompat dibentangkan kelak. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply

error: Aha??? Nak buat apa tu?